SEBERANG PERAI – Lebih 27,000 pekerja menerima manfaat di bawah Dasar Gaji Progresif (DGP) dalam tempoh sebelas bulan.
Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong berkata, berdasarkan perangkaan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso), sebanyak 2,489 majikan menyertai inisiatif terbabit.
“Setakat 17 November lalu, statistik menunjukkan lebih 45 peratus pekerja dalam kategori profesional hingga operator mesin menikmati kenaikan gaji RM300 atau lebih. Daripada jumlah itu, 22 peratus daripada penerima manfaat merupakan golongan belia.
“Ini sekali gus menjadi indikator penting bahawa DGP berupaya menarik, mengekalkan dan mengembangkan tenaga kerja muda yang kritikal kepada peningkatan produktiviti negara,” katanya selepas menghadiri Sesi Libat Urus DGP dan Majlis Penghargaan kepada Majikan DGP di Seberang Jaya di sini hari ini.
Dalam pada itu, Steven Sim yang turut mengadakan jelajah mesra di Festival Mega iLINDUNGu di Bukit Mertajam di sini berkata, program berkenaan menerima sambutan menggalakkan susulan lebih 13,000 pengunjung hadir setakat ini.
Katanya, seramai 70 majikan hadir membuat rayuan menerusi tawaran diskaun Faedah Caruman Lewat Bayar (FLCB) setakat ini dan perangkaan menunjukkan jumlah FLCB adalah RM205,185, namun majikan hanya perlu menjelaskan RM164,000 selepas diberi pengurangan sehingga 80 peratus. – KOSMO! ONLINE















