SEBERANG PERAI – Seorang kru kapal tongkang warga Indonesia dilaporkan hilang selepas dipercayai terjatuh berhampiran Pelabuhan Pulau Pinang di sini semalam.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Pulau Pinang, John Sagun Francis berkata, pihaknya menerima panggilan pihak polis memohon bantuan mengesan mangsa pada pukul 3.55 petang.
“Mangsa dikenali sebagai Abdul Khodir, 46, yang merupakan kru kapal Cassandra 2702 yang dipercayai terjatuh antara pukul 10 malam semalam hingga 2 pagi tadi. Kita melaksanakan kerja mencari dan menyelamat menggunakan kaedah “Water Surface Searching” di sekitar kapal mangsa dilaporkan hilang.
“Setakat pukul 8 malam ini, mangsa masih belum dijumpai dan kita terpaksa menangguhkan pencarian susulan faktor cuaca dan keadaan laut yang bergelora. Operasi akan disambung pukul 8 pagi esok,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Tambahnya, Pos Kawalan Bomba (PKB) di Pengkalan Marin Mak Mandin turut dibuka, manakala operasi dijalankan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Butterworth dengan pasukan polis, Bomba Pelabuhan serta Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Bukit Bendera. -KOSMO! ONLINE














