KUALA LUMPUR – Pelbagai helah digunakan sekumpulan jurugambar haram di sekitar Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) apabila operasi penguatkuasaan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mengejutkan mereka yang sedang mencari ‘rezeki’ di kawasan tumpuan pelancong itu.
Ada yang melarikan diri, ada yang menyamar sebagai pelancong dan tidak kurang juga yang menyorok peralatan di celah pasu bunga sebaik menyedari kehadiran penguat kuasa.
Wartawan Kosmo! yang menyertai operasi bersepadu tindakan penguatkuasaan terhadap jurugambar di sekitar KLCC mendapati sebahagian daripada mereka dilihat ‘berdrama’ dengan langsung tidak mengaku mengenali rakan-rakan sendiri, mendakwa mereka hanyalah pengunjung biasa yang kebetulan berada di kawasan berkenaan.
Lebih menghairankan, ada yang bermati-matian menafikan mengambil gambar pelancong meskipun telefon kamera berada bersama dalam beg, sekali gus menimbulkan keraguan dalam kalangan anggota penguat kuasa.
Dalam masa yang sama, beberapa individu dilaporkan ‘hilang’ beberapa minit sebelum petugas DBKL menghampiri lokasi, dipercayai sudah menghidu operasi bersepadu yang digerakkan malam tadi.
Hasil pemeriksaan para pegawai menemukan pelbagai peralatan seperti kamera kecil, pencetak mudah alih dan power bank yang disembunyikan di belakang struktur bunga serta pasu besar di laluan pejalan kaki.
Penemuan itu dibuat selepas pihak berkuasa memerhatikan gelagat mencurigakan beberapa individu yang cuba beredar tergesa-gesa sebaik operasi dimulakan.
Beberapa individu turut disoal siasat kerana mempunyai rekod pernah ditahan sebelum ini kerana didakwa tidak memiliki lesen penjaja.
Operasi bersepadu KL Strike Force itu melibatkan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur dan Polis Diraja Malaysia dijalankan kira-kira pukul 8.30 malam sehingga 12 tengah malam di sekitar KLCC dan Pintasan Saloma.
Berdasarkan notis kompaun yang dikeluarkan, mereka ditahan kerana menawarkan perkhidmatan fotografi di tempat awam menggunakan telefon pintar tanpa kebenaran pihak berkuasa.
Tindakan itu diambil mengikut Undang-Undang Kecil (UUK) 3(1), UUK Pelesenan Penjaja Wilayah Persekutuan 2016.
Selain itu, peralatan digunakan turut dirampas untuk tindakan selanjutnya.
Kosmo! sebelum ini melaporkan sebanyak 41 notis kompaun dikeluarkan terhadap individu yang menjalankan perkhidmatan fotografi tanpa lesen menerusi Operasi Penguatkuasaan Ops Lens di kawasan tumpuan awam sekitar KLCC pada 27 Julai lalu. – KOSMO! ONLINE















