fbpx
Beberapa jalan masuk ke pusat bandar Hatyai, Thailand ditutup akibat ditenggelami air sejak tengah malam tadi. -IHSAN MAJLIS PERBANDARAN HATYAI

Hatyai Banjir: Terus tinggal di hotel, bantuan digerakkan – Konsulat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SONGKHLA – Seramai lapan rakyat Malaysia yang sedang bercuti di Hatyai ketika ini terkandas di beberapa buah hotel selepas pusat pelancongan itu ditenggelami banjir sejak semalam.

Konsul General Malaysia di Songkhla, Ahmad Fahmi Ahmad Sarkawi berkata, maklumat tersebut diterima selepas individu tersebut menghubungi pejabat konsulat untuk meminta bantuan selepas terkandas.

Katanya, beliau sudah meminta kesemua individu tersebut untuk terus tinggal di hotel yang mereka diami buat sementara waktu.
“Kami juga telah menghubungi pihak berkuasa tempatan supaya memberi apa juga bantuan yang perlu kepada rakyat Malaysia yang terkandas. Teruskan menghubungi kami untuk memaklumkan perkembangan terkini mereka.

“Jumlah sebenar mereka yang terkandas belum diketahui. Pegawai bertugas konsulat masih menerima beberapa panggilan daripada rakyat Malaysia,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Ahmad Fahmi memberitahu, mengikut maklumat diterima, jumlah rakyat Malaysia yang masuk ke Thailand melalui semua pintu sempadan darat sejak Jumaat lalu agak rendah berbanding sebelum ini.

Katanya, pengurangan jumlah susulan pelancong Malaysia sudah memantau keadaan cuaca sebelum memulakan perjalanan ke negara gajah putih itu.

“Biasanya mulai pertengahan November hingga akhir Disember Selatan Thailand akan alami hujan lebat dan banjir. Sebab itu kurang rakyat Malaysia yang masuk ke Thailand sekarang.

“Maklumat yang diterima daripada Majlis Perbandaran Hatyai, beberapa jalan di pusat bandar telah ditutup akibat ditenggelami banjir sejak semalam,” ujarnya.

Ahmad Fahmi berkata, pihaknya menasihatkan rakyat Malaysia supaya menangguhkan sementara perjalanan ke Selatan Thailand bermula hari ini. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN