PASUKAN Johor Darul Ta’zim (JDT) mempamerkan aksi bertenaga apabila membelasah Melaka FC 7–1 kelmarin sekali gus menjadi penyuntik semangat buat jurulatihnya, Xisco Munoz menjelang misi getir menentang Melbourne City dalam saingan Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE), Selasa ini.
Menurut Xisco, apa yang dipamerkan anak buahnya bukan sekadar kemenangan besar, tetapi isyarat bahawa JDT masih kekal sebagai gergasi tempatan yang dahaga kejayaan di pentas Asia.
“Selepas dua minggu tanpa perlawanan, anda tak tahu tahap fizikal pemain, tapi mereka kembali dengan kuasa, semangat dan karakter. Persembahan ini memang cantik dan tepat untuk persiapan kami,” katanya.
Bagaimanapun, Xisco mengakui cabaran utama pada aksi tersebut adalah corak bertahan ‘low block’ Melaka FC yang meletakkan hampir semua pemain di kawasan sendiri untuk cuba menutup ruang serangan bertenaga JDT.
“Mereka duduk terlalu rendah, terlalu rapat, memang susah nak tembus. Tapi, pemain saya kekal kreatif, bijak guna ruang luar, dalam dan lorong tengah. Semua fasa serangan kita menjadi,” katanya.
Menjelang pertembungan dengan Melbourne City, Xisco menegaskan pemain tidak boleh ‘syok sendiri’ dengan kemenangan besar itu, sebaliknya kekal fokus kerana Melbourne tampil lebih garang berbanding musim lalu.
“Mereka kuat dalam banyak aspek. Ia akan jadi perlawanan yang sangat sukar. Pemain perlu faham konteks permainan – Melbourne tuntut intensiti tinggi dan banyak duel. Di JDT, bila dapat minit, anda wajib beri 100 peratus,” katanya tegas.















