PETALING JAYA – Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) hari ini mengeluarkan Amaran Hujan Berterusan melibatkan beberapa negeri dengan Kelantan menjadi kawasan paling terjejas apabila diletakkan di bawah kategori Buruk sehingga Isnin, 24 November 2025.
Menurut kenyataan dikeluarkan sebentar tadi, hujan lebat tanpa henti dijangka melanda daerah Tumpat, Pasir Mas, Kota Bharu, Bachok dan Pasir Puteh dalam tempoh dua hari akan datang.
Sementara itu, di bawah kategori Waspada, beberapa negeri turut dijangka menerima hujan berpanjangan.
Bagi Perlis, Kedah, Pulau Pinang serta kawasan Kerian, Larut Matang dan Selama, Hulu Perak dan Kuala Kangsar di Perak, hujan dijangka berterusan sehingga 24 November 2025.
Turut terjejas adalah bahagian barat dan selatan Kelantan melibatkan Jeli, Tanah Merah, Machang, Kuala Krai dan Gua Musang, selain seluruh negeri Terengganu, yang dijangka berdepan cuaca basah sehingga Rabu, 26 November 2025.
MetMalaysia menasihatkan orang ramai, khususnya di kawasan rendah dan berhampiran sungai, supaya berwaspada terhadap kemungkinan banjir kilat susulan jumlah hujan yang tinggi dalam tempoh berterusan.- KOSMO! ONLINE.














