LONDON – Manchester City berdepan misi wajib menang apabila mereka bertandang ke St. James Park awal pagi esok untuk menentang Newcastle United, sekali gus mahu mengekalkan tekanan terhadap pendahulu Liga Perdana Inggeris (EPL), Arsenal.
Selepas permulaan musim yang goyah, skuad bimbingan Pep Guardiola kini kembali mempamerkan rentak sebenar dengan 11 kemenangan daripada 14 perlawanan terakhir, termasuk kejayaan membenam Liverpool 3-0 pada aksi sebelum ini.
Kemenangan bergaya itu bukan sahaja menjadi hadiah istimewa pada penampilan ke-1,000 Guardiola sebagai pengurus, bahkan mengangkat City ke tangga kedua liga, empat mata di belakang Arsenal yang bakal beraksi dalam derbi London Utara.
Bagaimanapun, aksi di Tyneside tidak menjanjikan laluan mudah buat juara bertahan tersebut memandangkan City hanya memenangi dua daripada lima perlawanan di tempat lawan setakat musim ini, tewas kepada Brighton dan Aston Villa dan seri bertemu Arsenal.
Rekod mungkin memberi sedikit kelebihan kepada The Citizens yang berjaya menjaringkan gol dalam 33 pertemuan EPL terakhir menentang Newcastle dan mencatat 12 kemenangan liga di St. James Park.
Namun, Newcastle turut terkenal dengan aksi bersemangat di laman sendiri dan musim lalu mereka berjaya mengikat City 1-1 dalam suasana yang cukup berkobar-kobar di hadapan penyokong setia mereka.
Newcastle juga disifatkan sebagai lawan berbahaya kerana sering mencetuskan masalah kepada pasukan besar dan City tidak boleh mengambil mudah memandangkan tuan rumah mempunyai rekod baik menjaringkan gol di St. James’ Park dalam beberapa minggu kebelakangan ini. – AGENSI














