fbpx
Gambar hiasan

Empat along ada 60 rekod jenayah ditahan ugut pengarah syarikat wanita

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Empat lelaki tempatan yang disyaki menjadi ‘along’ tegar dicekup polis selepas didapati terbabit mengugut dan mengganggu seorang pengarah syarikat wanita berhubung pinjaman wang tanpa lesen.

Siasatan mendapati kumpulan suspek itu sebelum ini sudah lama terlibat dengan kegiatan jenayah apabila masing-masing memiliki puluhan rekod lampau pelbagai kes.

Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Hoo Chang Hook berkata, tangkapan dibuat setelah mangsa warga tempatan berusia 45 tahun membuat laporan polis susulan menerima pelbagai gangguan.
Beliau berkata, kejadian bermula apabila mangsa berminat dengan satu tawaran pinjaman wang yang dipromosikan menerusi aplikasi Facebook oleh sebuah syarikat pemberi pinjaman wang pada Ogos lalu.

“Mangsa berhubung dengan suspek menerusi aplikasi WhatsApp dan berminat dengan pinjaman yang dtawarkan dan telah membuat beberapa kali pembayaran.

“Namun mangsa dimaklumkan terlewat bayaran dan dikenakan bunga dan enggan membuat pembayaran tersebut sehinggalah mangsa telah menerima pelbagai gangguan daripada pemberi pinjaman wang tersebut,” katanya dalam kenyataan.

Bertindak atas laporan tersebut, Chang Hook berkata Bahagian Siasatan Jenayah Komersil membuat tangkapan ke atas empat suspek berusia antara 35 hingga 47 tahun.

“Siasatan lanjut mendapati mereka mempunyai rekod jenayah lampau membabitkan pelbagai kes di daerah dan kontinjen lain.

“Semakan mendapati suspek pertama dan kedua mempunyai 17 rekod jenayah, manakala suspek ketiga 18 rekod jenayah dan suspek keempat lapan rekod jenayah,” katanya.

Tambah beliau, kesemua suspek kini direman selama tiga hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 5(2) Akta Pemberi Pinjaman Wang 1951.

“Kertas siasatan kini sedang dilengkapkan dan akan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya dalam masa terdekat.

“Orang ramai diingatkan sentiasa berwaspada dengan taktik sindiket pinjaman wang tanpa lesen dalam talian.

“Masyarakat diingatkan untuk membuat semakan dahulu dengan pihak yang sepatutnya bagi mengelakkan menjadi mangsa penipuan. Sila dapatkan maklumat terkini daripada media sosial rasmi Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Bukit Aman,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN