fbpx
Adnan menunjukkan gambar anaknya, Muhammad Izhar yang maut dalam kemalangan di Kampung Sedaka Tengah, Yan, hari ini.

Dua sahabat sempat bersarapan sebelum maut dirempuh kereta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

YAN – Dua kanak-kanak lelaki yang maut dirempuh kereta dalam kejadian di Kampung Sedaka Tengah, di sini hari ini merupakan sahabat baik sejak kecil dan sering ke masjid bersama.

Malah, ketika kejadian, kedua-dua mangsa, Muhammad Izhar Adnan, 10, dan Muhammad Zaid Haris Abdullah, 11, dikatakan baru sahaja bersarapan di sebuah kedai makan tidak jauh dari rumah mereka.

Menurut Adnan Saad, 49, sebelum kejadian, anaknya, Muhammad Izhar, 10, memaklumkan kepada isterinya, Fatimah Senawi, 49, bahawa dia mahu makan roti canai bersama kawan baiknya.
“Isteri saya sempat pesan kepada anak supaya pulang terus ke rumah selepas selesai bersarapan dan jangan singgah di mana-mana.

“Namun dalam masa setengah jam, kami dapat berita anak dan sahabat baiknya maut dirempuh kereta ketika pulang daripada menikmati roti canai,” katanya di sini hari ini.

Katanya, Muhammad Izhar, anak bongsu daripada enam beradik, berkawan baik dengan Muhammad Zaid sejak kecil dan belajar di Sekolah Kebangsaan (SK) Dulang di sini.

“Mereka berdua sentiasa bersama ke masjid di kampung ini sama ada untuk menunaikan solat atau membantu pihak pengurusan masjid semasa mengendalikan sebarang aktiviti. Terbaharu, mereka membantu membersihkan bahagian dapur masjid selepas aktiviti memasak pada sebelah petang,” ujarnya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Yan, Superintendan Mohamad Hamizi Abdullah berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai kemalangan itu kira-kira pukul 9.25 pagi.

“Kemalangan itu membabitkan sebuah kereta jenis Honda City yang dipandu seorang lelaki berusia 33 tahun yang dipercayai merempuh basikal dinaiki dua kanak-kanak itu. Jenazah kedua-dua kanak-kanak itu dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah di Alor Setar untuk proses bedah siasat,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN