SERDANG – Golongan muda perlu merancang kewangan dengan membuat tabungan secara konsisten bersama Tabung Haji selain mengamalkan gaya hidup sihat dalam usaha menunaikan rukun Islam kelima itu.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri Hal Ehwal Agama, Datuk Dr. Mohd. Na’im Mokhtar berkata, dua faktor itu penting agar semua pihak dapat menunaikan haji dalam keadaan masih kuat dan bertenaga.
“Saya berharap semoga orang termasuk peserta program TaHa Fun Run ini turut cakna tentang ibadah haji, sekali gus berazam untuk terus menjaga kesihatan dan kekal sihat untuk menunaikan haji nanti.
“Paling penting, mulakan amalan menabung secara konsisten di Tabung Haji bermula hari ini, agar dapat menunaikan haji semasa badan masih kuat dan bertenaga,” katanya ketika merasmikan Program TaHa Fun Run 2025 di Universiti Putra Malaysia di sini, hari ini.
Program TaHa Fun Run 2025 yang bertemakan ‘Run For A Lifetime Journey’ anjuran Tabung Haji disertai lebih 1,000 peserta berusia 18 hingga 25 tahun yang menwarkan hadiah cabutan bertuah pakej umrah bernilai RM8,000.
Larian terbahagi kepada dua kategori ini meliputi tiga dan lima kilometer bertujuan memupuk kesedaran menabung secara konsisten dan merancang kewangan sejak usia muda serta memupuk gaya hidup sihat dan aktif.
Sementara itu, Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif Tabung Haji, Mustakim Mohamad berkata, melalui program larian yang dianjurkan pihaknya mahu menyemai kesedaran dalam kalangan generasi muda supaya bersedia untuk masa depan khususnya ibadah haji.
“Setiap langkah kecil dalam larian membawa kita ke garisan penamat. Begitu juga dengan simpanan, setiap jumlah yang disimpan secara berterusan akan membina masa depan yang lebih baik,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE















