PETALING JAYA – Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim hari ini berlangsung dalam suasana penuh mesra apabila Seri Paduka Baginda memilih untuk meraikannya bersama cucu-cucu tersayang.
Menerusi perkongsian yang dimuat naik di laman sosial rasmi Seri Paduka Baginda, majlis santapan tengah hari itu diadakan di Istana Pasir Pelangi dan turut diserikan dengan keberangkatan Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofiah.
Detik itu diraikan oleh kaum kerabat diraja Johor yang lainnya yang turut berangkat memeriahkan majlis.
“Berangkat sama, Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail dan Che’ Puan Mahkota Khaleeda Johor. Turut berangkat Tunku Temenggong Johor, Tunku Idris Iskandar Al-Haj Ibni Sultan Ibrahim; Tunku Panglima Johor, Tunku Abdul Rahman Al-Haj Ibni Sultan Ibrahim dan Tunku Putera Johor, Tunku Abu Bakar Al-Haj Ibni Sultan Ibrahim,” ujarnya.
Selain itu, Tunku Tun Aminah serta suaminya, Datuk Dennis Muhammad Abdullah, turut berangkat memeriahkan majlis. – KOSMO! ONLINE














