fbpx
Banjir di Hatyai dijangka pulih pada Isnin selepas hujan lebat diramal berhenti esok

4,000 rakyat Malaysia terjejas banjir Hatyai dalam keadaan selamat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PUTRAJAYA – Kira-kira 4,000 rakyat Malaysia yang terkandas berikutan banjir di Hatyai dan beberapa kawasan sekitar selatan Thailand dilaporkan berada dalam keadaan selamat .

Kementerian Luar berkata, kesemua rakyat Malaysia dilaporkan selamat memandangkan majoriti mereka menginap di hotel bertingkat.

Kata Wisma Putra, bagaimanapun, terdapat segelintir rakyat Malaysia mengalami masalah sementara bekalan elektrik serta akses terhad kepada makanan ekoran gangguan di kawasan setempat.

“Kementerian Luar melalui Konsulat Jeneral Malaysia di Songkhla dan Kedutaan Besar Malaysia di Bangkok terus memantau rapat situasi banjir di Hatyai serta beberapa daerah di wilayah Songkhla.

“Setakat petang ini, kira-kira 4,000 rakyat Malaysia di Hatyai dan kawasan berhampiran terjejas akibat banjir,” katanya dalam satu kenyataan di sini malam ini.

Wisma Putra berkata, Polis Pelancong Thailand serta pihak berkuasa tempatan telah digerakkan sepenuhnya dan sedang mengurus situasi dengan aktif.

“Keadaan cuaca dijangka semakin baik dengan hujan lebat diramalkan berhenti esok.

“Paras air banjir dijangka beransur surut dan situasi keseluruhan dijangka semakin pulih pada Isnin,” katanya.

Konsulat Jeneral Malaysia di Songkhla telah mengaktifkan pasukan operasi bagi membantu rakyat Malaysia yang mungkin terkandas atau memerlukan bantuan.

“Konsulat Jeneral juga berada dalam komunikasi rapat dengan pihak berkuasa tempatan, hotel serta kumpulan rakyat Malaysia di kawasan terjejas.

“Rakyat Malaysia di Hatyai dan daerah sekitarnya dinasihatkan agar kekal berada di dalam bangunan sekiranya boleh.

“Mereka perlu mematuhi arahan pihak berkuasa tempatan serta berhati-hati di kawasan yang dilanda banjir,” katanya.

Selain itu, rakyat Malaysia yang belum mendaftarkan diri dengan Konsulat Jeneral di Songkhla atau Kedutaan Besar di Bangkok digesa berbuat demikian dengan segera. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN