MADRID – Legenda Real Madrid, Toni Kroos tanpa berselindung mengakui sikap dipamerkan pemain sayap, Vinicius Junior adakalanya memberi kesan kepada rakan sepasukan dalam setiap perlawanan.
Pemain Brazil itu sentiasa menjadi sasaran pihak lawan dalam setiap perlawanan kerana sikapnya yang sering melakukan provokasi selain bijak ‘berlakon’ bagi mendapatkan simpati pengadil perlawanan.
Kroos yang bersara tahun lalu, mengakui beliau sering menasihati Vinicius supaya tidak terlalu melakukan provokasi kepada pemain lawan kerana kesannya boleh menjejaskan rentak permainan pasukan.
“Memang saya pernah beritahu dia supaya berhenti untuk melakukan provokasi kepada pemain lawan kerana akhirnya, pasukan sendiri yang berdepan tekanan. Ia tidak salah tetapi perlu dikawal.
“Bagi saya, dia seorang pemain yang sangat baik dan tidak memerlukan segala kontroversi itu. Secara jujur, dia hanya perlu fokus untuk mempamerkan kemampuannya bermain bola sepak,” katanya.
Kroos turut mendedahkan, perangai tidak matang yang ditunjukkan Vinicius kadang-kadang menjejaskan keharmonian dalam pasukan apabila ada sesetengah pemain tidak selesa dengan sikap tersebut.
“Sebagai satu pasukan, kadang-kadang perkara itu menjejaskan hubungan kami dalam pasukan kerana ada pemain tidak selesa. Mereka hanya mahu bermain bola sepak tanpa ada sebarang gangguan,” ujarnya. – AGENSI















