PETALING JAYA – Maybank mengumumkan keuntungan bersih RM7.84 bilion bagi tempoh sembilan bulan berakhir 30 September 2025, meningkat 3.7 peratus berbanding tahun sebelumnya.
Ia disokong oleh prestasi pendapatan berasaskan dana bersih yang stabil, pendapatan bukan faedah (NoII) yang lebih tinggi dan disiplin pengurusan risiko yang berhemah di seluruh rangkaian serantaunya.
Pendapatan operasi bersih meningkat 3.2 peratus tahun ke tahun kepada RM22.86 bilion, disokong oleh pendapatan berasaskan dana bersih yang meningkat 1.6 peratus kepada RM14.9 bilion, manakala NoII naik 6.3 peratus kepada RM7.96 bilion.
Margin Faedah Bersih (NIM) bagi tempoh sembilan bulan turun sedikit satu mata asas kepada 2.03 peratus berbanding tahun sebelumnya. Pun begitu, Kumpulan berjaya meningkatkan NIM kepada 2.02 peratus pada suku ketiga, naik dua mata asas berbanding suku kedua daripada mudah tunai proaktif dan pengurusan kos pendanaan.
Presiden & Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Datuk Seri Khairussaleh Ramli berkata, Maybank menunjukkan prestasi yang stabil walaupun terdapat ketidaktentuan dan cabaran berterusan dalam landskap global.
Jelasnya, Kumpulan mengekalkan pendekatan berdisiplin dalam menguruskan risiko mudah tunai, pembiayaan dan risiko kredit, disamping terus memberi perkhidmatan kepada pelanggan merentasi semua segmen.
Selain itu, kualiti aset yang mampan mencerminkan pengurusan risiko Kumpulan yang berhemat, manakala pertumbuhan CASA (akaun semasa dan akaun simpanan) yang kukuh dan pemulihan NIM menekankan daya tarikan positif strategi deposit dan pendanaan.
“Sebagai mengakhiri fasa akhir M25+, tumpuan kami kekal pada mengukuhkan penambahbaikan struktur yang telah dilaksanakan terutamanya dalam produktiviti, kecekapan modal dan pengalaman pelanggan.
“Asas ini akan menyediakan landasan kukuh seiring peralihan kami kepada pusingan strategik seterusnya.
“Kami akan terus membina kedudukan kukuh dalam perbankan Islam dan berasaskan nilai, pengurusan kekayaan dan perdagangan, serta meningkatkan daya saing bagi memacu pertumbuhan mampan dan inklusif, sekali gus mengukuhkan kedudukan sebagai kumpulan perkhidmatan kewangan serantau berpacukan tujuan,” katanya dalam kenyataan hari ini. – KOSMO! ONLINE















