PETALING JAYA – “Minta tolong sesiapa sudi bantu selamatkannya…”
Itu permintaan orang ramai apabila terdapat seekor kucing jalanan yang cedera parah pada kakinya sehingga jelas menampakkan tulang.
Menerusi perkongsian di media sosial Dunia Kucing Malaysia (DKM), lokasi terkini kucing malang itu adalah di sekitar sebuah restoran di Kuala Kubu Bharu, Selangor.
“Saya ada terjumpa kucing jalanan tulang kakinya dah terkeluar. Saya tanya pekerja kedai makan berkenaan, lebih dua minggu dah dia dekat kawasan tu.
“Minta tolong sesiapa sudi bantu selamatkannya,” kata DKM, hari ini.
DKM turut meminta sesiapa yang berkesempatan untuk berbuat demikian, menghubungi Aynaa Zaini di talian 01160881416.
Hantaran DKM itu mengundang simpati orang ramai, malah ada yang menawarkan pembiayaan kos rawatan haiwan itu sepenuhnya.
“‘Up’. Seksa dia menahan sakit,” ujar @Azmi Azhar.
“Saya dah mesej Aynaa Zaini nak tolong kucing ni. Harap dia boleh uruskan bawa ke veterinar,” kongsi @Kavitha Mahalingam.
“Tolong bawak ke veterinar, bil nanti saya bayarkan terus ke veterinar. ‘PM’ ya,” komen @Kay Johan. – KOSMO! ONLINE














