fbpx
Gambar hiasan.

SSPN kumpul RM220 juta menerusi BMS 2025

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Bulan Menabung Simpan SSPN (BMS) 2025 anjuran Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) mencatat kejayaan dengan terimaan deposit Simpan SSPN berjumlah RM251.44 juta atau 114.30 peratus berbanding sasaran awal sebanyak RM220 juta.

Pengerusi PTPTN, Dato’ Seri Norliza Abdul Rahim berkata penganjuran BMS 2025 merupakan manifestasi iltizam PTPTN selaku agensi di bawah Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dalam memperkukuh usaha perancangan kewangan jangka panjang demi kelangsungan pendidikan tinggi negara.

Menurutnya, BMS merupakan inisiatif pemerkasaan penabungan yang dipelopori oleh PTPTN sejak tahun 2018 bertujuan untuk memastikan setiap ibu bapa menjadi adiwira atau superhero kepada anak-anak dengan membuat perancangan kewangan.

“Pencapaian terimaan deposit Simpan SSPN yang melebihi sasaran semasa program ini membuktikan keberkesanan strategi yang telah dirancang serta sokongan padu daripada masyarakat.

“Perkara ini turut mencerminkan tahap kesedaran yang semakin tinggi dalam kalangan ibu bapa terhadap keperluan perancangan kewangan yang lebih awal bagi menjamin masa depan pendidikan anak-anak selaras dengan aspirasi melahirkan modal insan berkualiti dan berdaya saing.

“Saya juga menyeru Kerajaan Negeri, agensi kerajaan serta badan korporat dan swasta untuk menjadikan akaun Simpan SSPN sebagai pilihan utama bagi agihan bantuan kepada masyarakat,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Beliau berkata, tahun 2025 merupakan tahun kelapan penganjuran BMS bersempena Hari Tabungan Sedunia yang disambut pada 31 Oktober setiap tahun dengan pelbagai aktiviti yang disertai oleh ibu bapa serta anak-anak dari pelbagai lapisan masyarakat.

Tambahnya, PTPTN akan terus komited melaksanakan pelbagai inisiatif dan program berimpak tinggi bagi meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai kepentingan penabungan demi menjamin akses pendidikan tinggi yang lebih terancang dan mengurangkan kebergantungan terhadap pinjaman pendidikan.

“Simpan SSPN menawarkan pelbagai keistimewaan dan manfaat kepada pendeposit. Antaranya insentif pelepasan taksiran cukai pendapatan ke atas simpanan sehingga RM8,000 setahun, perlindungan takaful percuma ke atas pendeposit bagi simpanan RM1,000 dan ke atas, Geran Sepadan sehingga RM10,000 secara percuma bagi satu keluarga yang layak, kadar dividen yang kompetitif, patuh syariah dan simpanan yang dijamin kerajaan.

“Maklumat lanjut berkenaan Simpan SSPN boleh diperoleh melalui portal rasmi www.ptptn.gov.my atau aplikasi myPTPTN untuk perkhidmatan yang lebih mudah, cepat dan selamat.,” jelasnya. –KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN