PETALING JAYA – Hubungan Malaysia dan Afrika Selatan terus diperkukuh apabila sesi libat urus antara pimpinan Islam kedua-dua negara hari ini membuka ruang perbincangan bermakna ke arah memperkasakan pembangunan ummah.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menerusi satu hantaran di laman sosial, berkata pertemuan bersama pimpinan Islam Republik Afrika Selatan membuka ruang bermakna untuk bertukar pandangan serta mengenal pasti usaha-usaha bagi memperkukuh pembangunan ummah.
“Malaysia turut menyatakan komitmen untuk memperluas jalinan kerjasama dengan negara-negara Afrika dalam sektor berimpak tinggi itu bagi memberi nilai tambah kepada ekonomi dan kesejahteraan umat Islam setempat.
“Selaras dengan misi mengangkat martabat Islam sebagai agama yang menjunjung kesejahteraan, toleransi dan ihsan, perbincangan turut menekankan aspek pendidikan, dakwah berhemah serta dialog antara peradaban sebagai tunjang kekuatan ummah sejagat,” katanya.
Sebagai lambang persaudaraan, beliau turut menyerahkan senaskhah al-Quran edisi khas beserta rehal kepada wakil pimpinan Islam Afrika Selatan, selain empat kotak al-Quran terjemahan bahasa Inggeris dan bertajwid untuk kegunaan komuniti tempatan.- KOSMO! ONLINE.














