SHAH ALAM – Suasana di Mahkamah Majistret di sini bertukar pilu apabila adik Allahyarham Zayn Rayyan Abdul Matin akhirnya kembali ke pangkuan bapanya, selepas 18 bulan terpisah daripada keluarga sendiri.
Momen itu berlaku sejurus prosiding di hadapan Majistret Ameera Mastura Khamis tersebut tamat, dengan Zaim Ikhwan Zahari, 30, memeluk anaknya lelakinya berusia enam tahun sambil diperhatikan ahli keluarga mereka.
Kanak-kanak itu yang juga menghidap autisme sebelum ini, dijaga oleh nenek saudara termasuk pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) atas perintah mahkamah.
Zaim Ikhwan ketika di luar mahkamah melahirkan rasa syukur atas keputusan mahkamah itu.
“Alhamdulillah, keputusan ini menjadi penguat semangat untuk kami terus berjuang,” jelasnya.
Peguam Lavanesh Haresh Mahadevan mewakili pihak keluarga memaklumkan mahkamah membenarkan permohonan itu kerana Zaim Ikhwan telah dilepas dan dibebaskan pada 21 Julai lalu, sekali gus tiada lagi keperluan mengekalkan hak penjagaan sementara di bawah keluarga saudara.
Namun katanya, sebanyak 14 syarat yang perlu dipatuhi mereka seperti tidak meninggalkan kanak-kanak itu tanpa pengawasan dan memastikan pendidikan serta terapi sewajarnya.
“Mereka mesti tinggal di alamat yang ditetapkan mahkamah dan sebarang perpindahan perlu dimaklumkan kepada JKM. Kanak-kanak ini juga dilarang dijadikan kandungan media sosial,” katanya.
Jelasnya, pelanggaran mana-mana syarat membolehkan JKM mengambil semula kanak-kanak tersebut untuk ditempatkan di institusi jagaan.
“Pembelaan akan memohon untuk membatalkan 14 syarat berkenaan selepas ini,” katanya.
Dalam pada itu, bapa Zaim Ikhwan, Zahari Mohd. Reba, 58, berkata cucunya diambil JKM ketika anaknya dan menantu direman polis Mei tahun lalu.
“Dia pasti merindui kasih sayang ibu bapa sepanjang 18 bulan di rumah saudara. Saya percaya bila pulang nanti, dia akan kembali dekat dengan Mommy (Ismanira) seperti selalu mencari Zayn Rayyan,” ujarnya.
Kosmo! sebelum ini melaporkan hak penjagaan sementara adik arwah diserahkan kepada nenek saudaranya bermula 9 Ogos 2024 selepas rundingan antara JKM Selangor dan ibu bapanya di hadapan Majistret Muhammad Syafiq Sulaiman.
Zaim Ikhwan sebelum ini dibebaskan tanpa perlu membela diri atas kes pengabaian Zayn Rayyan, manakala Ismanira Abdul Manaf, 30, diperintahkan membela diri.
Pada 31 Oktober, Ismanira dihantar ke Penjara Wanita Kajang menjalani hukuman lima tahun selepas didapati bersalah dengan permohonannya menangguh hukuman ditolak oleh Hakim Dr.
Syahliza Warnoh. – KOSMO! ONLINE















