KUALA LUMPUR – Pelakon Tiz Zaqyah sebak melihat ramai yang mendoakannya selepas dia mendedahkan bakal mendirikan rumah tangga dengan jejaka pilihan hati dikenali sebagai Nas Amer tidak lama lagi.
Menurut Tiz atau nama penuhnya, Siti Zaqyah Abdul Razak, 37, semua doa yang dititipkan adalah satu perkara dianggap luar biasa terutama untuk dirinya yang akan bergelar isteri.
“Bergenang dan pastinya terharu sebab tersentuh melihat ramai mendoakan saya.
“Bertemu jodoh ini juga adalah satu rezeki daripada Allah SWT namun paling penting pastilah restu dan doa ibu bapa.
“Doakan semuanya berjalan lancar dan segala urusan dipermudahkan,” katanya kepada Kosmo! Online ketika ditemui pada acara fesyen Fashionably Modest Asia 2025, di sini, semalam.
Sementara itu menurut Nas Amer yang turut hadir menemani Tiz semalam, persiapan majlis perkahwinan mereka kini sudah mencapai 50 peratus.
Kata Nas, persiapan kini masih rancak dilakukan kerana banyak perkara perlu disusun dengan teliti, termasuk urusan jadual masing-masing.
“Persiapan memang kami sedang lakukan bersama. Bukan senang nak bina masjid ini sebab banyak persiapan perlu dilakukan buat dari segi kewangan, kerja dan jadual dia semua
“Kedua belah keluarga memang dah bersedia 100 peratus cuma persiapan perkahwinan pula 50 peratus dan sekarang nak pilih tarikh, pilih tempat dan lain-lain.
“Kalau kami dah dapat tarikh, insya-Allah kami akan umumkan, mungkin tahun depan,” jelasnya.
Dalam masa sama, Nas berkata dia juga dalam fasa mempersiapkan dirinya untuk memegang status sebagai suami.
“Sebagai seorang lelaki, memang wajib untuk saya bersedia untuk jadi ketua keluarga dan bukan perkara yang mudah sebab bapa Tiz pun memang tegas.
“Dia memang sangat teliti tentang siapa yang akan jadi calon suami anak tunggalnya. Memang banyak saringan yang saya perlu lalui tetapi semuanya berjalan dengan baik,” ujarnya.
Baru-baru ini Tiz mengumumkan khabar gembira bakal menamatkan zaman bujang dengan lelaki pilihan hati yang juga adik kepada pelakon, Nas T tahun depan.
Kongsi Tiz, mereka merupakan kenalan rapat sejak kecil dan Nas Amer tinggal setaman dengan keluarganya. – KOSMO! ONLINE















