fbpx
Arman ketika dibawa ke Mahkamah Shah Alam hari ini.

Pengawal Nepal ‘gila’ kucing dipenjara

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SHAH ALAM – Seorang pengawal keselamatan yang sebelum ini disiasat meliwat kucing, dijatuhi hukuman penjara empat bulan oleh Mahkamah Majistret hari ini atas pertuduhan berpakaian separuh bogel dan memasuki negara tanpa dokumen sah.

Majistret Wan Noora Nisa Ngadirin menjatuhkan hukuman itu selepas tertuduh, Arman Shah, 33, mengaku bersalah selepas dua pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah.

Berdasarkan pecahan, Arman diperintah penjara tiga bulan bermula hari ini bagi sabitan Akta Imigresen dan sebulan lagi setelah selesai hukuman itu bagi kesalahan berpakaian separuh bogel.

Mengikut pertuduhan, Arman didakwa dengan maksud hendak mengaibkan kehormatan dengan mengganggu kesantunan iaitu dengan cara berpakaian separuh bogel di hadapan seorang lelaki berusia 33 tahun tingkat empat sebuah blok pangsapuri di Kota Kemuning, Seksyen 31 pada pukul 12.30 tengah malam, 15 November lalu.

Sabit kesalahan boleh dihukum penjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan.

Dia juga didakwa memasuki negara tanpa sah di lokasi dan masa yang sama mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 yang memperuntukan penjara sehingga lima tahun atau denda tidak melebihi RM10,000, atau kedua-duanya sekali, sekiranya disabitkan kesalahan.

Arman yang tidak diwakili peguam merayu hukuman penjara dikurangkan selain memaklumkan belum berkahwin dan berpendapatan RM2,300 sebulan.

Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Aiman Ariz Zainal Alam memohon hukuman berat sebagai pengajaran.

Di Mahkamah Sesyen, Arman turut mengaku bersalah di hadapan Hakim
Fatimah Zahari atas pertuduhan dengan kejam mendera seekor kucing juga di lokasi dan masa yang sama.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 29 (1) (a) Akta Kebajikan Haiwan 2015 yang sabit kesalahan boleh penjara sehingga tiga tahun atau denda tidak melebihi RM100,000 atau kedua-duanya sekali.

Mahkamah kemudiannya menetapkan 8 Disember depan sebagai tarikh fakta kes dan jatuh hukum. Pendakwaan dibuat Timbalan Pendakwa Raya Amir Saifullah Mohammad Sallehuddin.

Kosmo! sebelum ini melaporkan tindakan tidak berperikemanusiaan seorang pengawal warga Nepal yang meliwat seekor kucing ketika dia mabuk.

Suspek kemudiannya telah mencampak kucing itu dari tingkat empat sebuah pangsapuri ketika ditegur seorang lelaki.

Hasil siasatan, suspek yang masih bujang itu telah dua bulan bekerja di pangsapuri itu namun didapati tidak mempunyai permit kerja dan direman 14 hari dibawah Akta Imigresen. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN