PETALING JAYA – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menafikan mengeluarkan mesej peringatan larangan terbabit rasuah seperti yang tular di aplikasi WhatsApp sempena Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Negeri Sabah.
SPRM dalam kenyataan berkata, hebahan rasmi hanya dikeluarkan melalui saluran sah milik suruhanjaya itu, termasuk platform media arus perdana.
“Orang ramai dinasihatkan berhati-hati agar tidak mudah terpedaya dengan mesej tular berhubung larangan rasuah yang tidak dikeluarkan oleh SPRM. Pihak tidak bertanggungjawab mungkin mengambil kesempatan untuk tujuan tertentu.
“SPRM turut mengingatkan semua calon dan pengundi agar tidak terlibat dalam sebarang bentuk jenayah rasuah, serta menegaskan bahawa maklumat berkaitan boleh disalurkan terus kepada pihak mereka,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Katanya, Bilik Gerakan SPRM telah dibuka sejak 10 November lalu di lima lokasi di Sabah, iaitu di Pejabat SPRM Kota Kinabalu, Sandakan, Tawau, Lahad Datu dan Keningau.
Sehubungan itu, orang ramai juga boleh membuat laporan atau mendapatkan rujukan melalui saluran rasmi SPRM termasuk Portal SPRM, Portal Aduan Rasuah SPRM, talian bebas tol 1800-88-6000 atau aplikasi MACC Mobile. – KOSMO! ONLINE














