PETALING JAYA – Malaysia kini berada dalam kelompok 25 negara teratas di dunia yang memiliki purata IQ tertinggi menurut laporan global Ranking Royals yang menganalisis lebih 1.35 juta keputusan ujian IQ sepanjang tahun 2024.
Menerusi laporan itu, Malaysia melonjak ke tangga ke-22 dunia sekali gus menjadi negara ketiga dengan IQ tertinggi di ASEAN selepas Singapura dan Thailand.
Vietnam pula berada dua anak tangga di belakang Malaysia dengan purata IQ 100.12 manakala Brunei Darussalam menduduki tangga ke-55 dengan purata 98.14.
Negara ASEAN lain menyaksikan Myanmar di kedudukan ke-61 dengan purata IQ 97.37 diikuti Filipina di tangga ke-73 (96.66).
Kemboja pula berada di kedudukan ke-94 (93.97), manakala Indonesia di tangga ke-98 (93.18) dan Laos di kedudukan ke-103 dengan purata 92.05.
Laporan itu turut menunjukkan negara-negara Asia Timur kekal mendominasi ranking tertinggi purata IQ global, meninggalkan purata IQ di Eropah, Asia Barat, Amerika Utara, Oceania dan Afrika Utara.
Secara keseluruhan, China mencatat purata IQ tertinggi dunia dengan skor 107.19 diikuti Korea Selatan (106.43) dan Jepun (106.40).
Tiga negara yang berada di kedudukan paling bawah pula ialah Benin (86.88), Angola (85.33) dan Gabon (85.08).
Peningkatan kedudukan Malaysia ini dilihat selari dengan perkembangan pesat teknologi serta pendedahan masyarakat terhadap inovasi digital yang menjadi pemacu utama perkembangan intelektual dalam era moden.- KOSMO! ONLINE.














