fbpx
Gambar hiasan

MAIWP biaya lebih RM10 juta setahun bantu warga emas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) terus memperkukuh komitmen menjaga kebajikan golongan warga emas apabila menyalurkan lebih RM48 juta bagi menampung keperluan hampir 6,300 penerima sejak 2023 hingga Oktober lalu.

Menerusi data yang dikongsikan, MAIWP memaklumkan sebanyak RM15,519,639 dibelanjakan pada 2023 bagi membantu 1,987 warga emas di Wilayah Persekutuan.

Katanya, peruntukan itu meningkat pada 2024, apabila kos pembiayaan melonjak kepada RM18,475,357 melibatkan 2,408 penerima.

“Untuk rekod tahun ini setakat Oktober, sebanyak RM14,231,472 telah dibelanjakan MAIWP bagi membiayai keperluan 1,890 warga emas,” katanya dalam kenyataan kepada Kosmo! hari ini.

Terdahulu, MAIWP menjelaskan seramai 13,259 penerima Bantuan Sara Hidup (BSH) berusia 60 tahun ke atas sedang dibantu pihaknya setakat 13 November 2025 khususnya di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan sekali gus memaparkan realiti kehidupan kumpulan tersebut yang bergantung kepada sokongan zakat untuk meneruskan hidup.

“Daripada jumlah itu, 6,686 individu berada dalam kategori berkahwin, manakala 4,877 merupakan golongan bujang, duda atau janda. Seramai 1,696 penerima tidak mempunyai pasangan dan hidup bersendirian,” katanya.

MAIWP turut memaklumkan bahawa 7,600 warga emas tinggal bersama anak atau waris, manakala 5,659 lagi menetap sendirian, sama ada di rumah sendiri, bilik sewa atau kediaman yang diuruskan pihak tertentu.

Sebelum ini, menerusi laporan khas Kosmo!, Malaysia dijangka berdepan cabaran besar dalam sistem penjagaan kesihatan apabila semakin ramai warga emas yang tidak mempunyai perlindungan insurans terpaksa bergantung sepenuhnya kepada hospital dan klinik kerajaan untuk mendapatkan rawatan, sekali gus meningkatkan beban kos rawatan penyakit kronik negara.

Profesor Ekonomi dan Polisi Kesihatan Universiti Perubatan Antarabangsa (IMU), Prof. Datuk Dr. Syed Mohamed Aljunid berkata, ketika ini negara mempunyai lebih 3.9 juta warga emas yang berusia 60 tahun ke atas iaitu sekitar 11 peratus daripada jumlah penduduk, dan angka itu dijangka meningkat kepada 15 peratus dalam tempoh 10 tahun akan datang.

“Daripada kajian yang kita buat di Universiti Kebangsaan Malaysia dan juga di Universiti Putra Malaysia yang lepas, warga emas sahaja, satu tahun dia memerlukan hampir RM8.7 bilion untuk kos rawatan kesihatan.

“Ia bersamaan dengan 0.6 peratus daripada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK). Warga emas apabila mereka dapatkan rawatan, kos memang tinggi sebab mereka banyak menghadapi penyakit-penyakit kronik, dimana jika ambil insurans kesihatan pun sukar untuk melindung penyakit-penyakit sebegitu,” katanya ketika dihubungi Kosmo! baru-baru ini. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN