fbpx
KERJA-KERJA membersihkan serpihan kayu dipercayai komponen asal kapal gergasi era Kesultanan Melaka giat dilakukan di tapak ekskavasi di Pulau Melaka. - AMRAN ALI/KOSMO!

Lima tahun untuk rungkai rahsia kapal purba di Melaka

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

MELAKA – Proses ekskavasi penemuan kapal purba abad ke-13 di Pulau Melaka dekat sini dijangka mengambil masa sekurang-kurangnya lima tahun sebelum kajian lengkap dan dokumentasi rasmi dapat disiapkan.

Pengurus Besar Perbadanan Muzium Melaka (Perzim), Erne Hamsah berkata, tempoh tersebut diperlukan kerana kajian terhadap struktur kayu kapal serta artifak lain memerlukan kerja terperinci melibatkan pakar arkeologi tempatan dan antarabangsa.

“Ini bukan kajian satu atau dua tahun, kita jangka mengambil masa lima tahun atau lebih kerana perlu menyaring, meneliti dan mengesahkan setiap penemuan termasuk kemungkinan artifak tambahan seperti porselin dan syiling.

“Usaha ini jugq memerlukan dana besar dan Perzim berharap kerajaan negeri dapat mengekalkan peruntukan sekitar RM50 juta, sama seperti dua tahun sebelum ini bagi menampung kos kerja ekskavasi, kajian dan dokumentasi,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Sambutan Ulang Tahun ke-30 Muzium Sastera Melaka serta Peluncuran Katalog Manuskrip Melayu di Bukit Melaka, dirasmikan Timbalan Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri, Datuk Zaidi Attan.

Tambahnya, selain ekskavasi kapal purba, dana itu juga diperlukan untuk kerja penyelenggaraan 21 muzium di bawah Perzim yang memerlukan pemuliharaan berterusan.

Sementara itu, Zaidi berkata, kerajaan negeri sedang merangka strategi terbaik dalam belanjawan akan datang bagi memastikan sektor pelancongan terus berkembang tanpa menjejaskan pemuliharaan warisan.

Beliau berkata, pelaksanaan Zon Bebas Kenderaan berjaya mengurangkan gegaran yang boleh menjejaskan struktur bangunan lama seperti Bangunan Merah dan usaha tersebut akan diteruskan secara berskala mengikut keupayaan bajet.

“Melalui belanjawan nanti, kita mahu memastikan kerja pemuliharaan berjalan lancar dan pada masa sama meningkatkan jumlah pelancong,” katanya.

Terdahulu, Kosmo! pada bulan lalu melaporkan sebuah rangka kapal kayu gergasi dipercayai milik pembesar Kesultanan Melayu Melaka berusia antara 800 hingga 900 tahun ditemui di Pulau Melaka.

Kapal sepanjang 70 meter itu antara yang terbesar dan tertua di Malaysia, sekali gus menunjukkan kepakaran teknologi perkapalan Melayu abad ke-13.- KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN