JOHOR BAHRU – Seorang anggota Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas 10 pertuduhan meminta dan menerima suapan berjumlah RM4,300 daripada sebuah syarikat perkapalan.
Walau bagaimanapun, tertuduh, Muhamad Azizi Kamali, 40, yang berpangkat Laskar Kanan di Maritim Malaysia Langkawi, mengaku tidak bersalah selepas semua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Datuk Ahmad Kamal Arifin Ismail.
Berdasarkan kertas pertuduhan, Muhamad Azizi didakwa meminta dan menerima wang antara RM200 hingga RM700 secara berperingkat daripada syarikat LGH Maju Trading menerusi orang tengah sebagai dorongan supaya tidak mengambil tindakan undang-undang terhadap bot-bot milik syarikat itu yang melakukan kesalahan maritim.
Kesalahan itu didakwa dilakukan pada beberapa tarikh antara 2022 hingga 2023 dan tertuduh didakwa di bawah Seksyen 165 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa SPRM, Rais Adha Ramli, manakala tertuduh diwakili peguam bela, Nur Shuhadah Mahzan.
Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 22 Disember depan sebagai tarikh sebutan semula kes bagi serahan dokumen.-KOSMO! ONLINE















