fbpx
Nurul Alia Maisarah menunjukkan gambar kenangan bersama arwah kakaknya, Nurul Amirah (tengah) ketika ditemui di Hospital Rembau. – NOR AINNA HAMZAH

‘Kakak tak sabar tunggu saya ada anak’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

REMBAU – Seorang adik terkilan apabila tidak sempat memberitahu kakaknya yang dia kini sudah mengandung apabila wa­nita itu maut dirempuh lori ketika sedang menukar tayar pancit dalam kejadian di Kilometer 260.6, Lebuh Raya Utara-Selatan arah Selatan di sini kelmarin.

Kejadian pada pukul 9.20 pagi itu mengakibatkan Nurul Amirah Hamdan, 31, maut di lokasi kemalangan apabila mengalami kece­deraan parah di seluruh badan.

Adiknya, Nurul Alia Maisarah, 22, berkata, Allahyarham merupakan kakak yang sangat baik dan menjadi rujukan adik-beradik sekiranya berdepan masalah.

Katanya, Allahyarham juga yang banyak berhabis untuk ­majlis perkahwinannya pada Mei lalu.

“Saya tidak boleh lupa kakak kata dia tak sabar nak tunggu saya ada anak. Beberapa hari sebelum kejadian saya ada membuat pemeriksaan dan doktor anggarkan kandungan saya berusia lapan minggu.

“Terkilan sebab hajat saya mahu beritahunya secara berdepan. Kami kerap berhubung di telefon dan kali ter­akhir bertemu pada Ogos lalu dan berbincang untuk mengadakan hari keluarga hujung tahun ini,” katanya ketika ditemui di Hospital Rembau di sini.

Menurut Nurul Alia Maisarah, dia dimaklumkan mengenai kejadian itu 10 minit selepas kakaknya yang dalam perjalanan ke tempat kerja di sebuah kilang di Senawang kemalangan.

Semalam Kosmo! Online me­laporkan Nurul Amirah maut ketika hendak menukar tayar belakang sebelah kanan yang pancit di lorong kecemasan. Nahas berlaku apabila lori kontena dipandu lelaki berusia 24 tahun bergesel dengan mangsa yang memandu kenderaan utiliti sukan jenis Proton X50.

Jenazah mangsa selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Kampung Parit Seberang, Kuala Pilah. Kes kemalangan itu disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN