PUTRAJAYA – Jabatan Perikanan (DOF) mengambil serius dengan peningkatan perdagangan ikan yu dan pari secara jual beli dalam talian, menurut laporan terkini Tabung Hidupan Liar Sedunia (WWF) dan Traffic Asia Tenggara.
Ketua Pengarah Perikanan, Datuk Adnan Hussain berkata, pihaknya menghargai kerjasama WWF dan Traffic dalam meningkatkan ketelusan maklumat serta kesedaran awam dalam keperluan melindungi spesies terancam.
“Ikan yu dan pari adalah pemangsa puncak yang penting dalam keseimbangan ekosistem marin. DOF komited memastikan perdagangan spesies terancam.
“DOF meneliti semula pendekatan pengurusan termasuk pengukuhan operasi pemantauan, semakan dasar serta pemantapan mekanisme penguatkuasaan di peringkat lapangan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, Malaysia sebagai Negara Pihak kepada Convention on International Trade in Endangered Species of Wild Fauna and Flora (Cites) turut bertanggungjawab mengawal perdagangan antarabangsa spesies terancam termasuk ikan yu dan pari.
“Pematuhan permit Cites dalam pemeriksaan identiti spesies dan kolaborasi rapat dengan agensi penguatkuasaan di pintu masuk negara, berdasarkan data saintifik serta standard antarabangsa.
“Dari sudut perundangan domestik, beberapa spesies ikan yu dan pari dilindungi di bawah Akta Perikanan 1985 dan Peraturan-Peraturan Perikanan (Pengawalan Spesies Ikan Yang Terancam) 1999.
“Antara yang tersenarai ialah Great Hammerhead, Scalloped Hammerhead, Smooth Hammerhead, Oceanic Whitetip Shark serta pari manta seperti Giant Manta Ray dan Reef Manta Ray,” katanya.
Menurut DOF, tindakan bersepadu akan terus dipertingkat melalui penambahbaikan sistem pemantauan, peningkatan kapasiti agensi berkaitan, pengukuhan pendidikan awam serta penyediaan data saintifik yang komprehensif.
Katanya, usaha ini dilaksanakan untuk mencerminkan komitmen jabatan untuk memastikan sumber perikanan negara kekal lestari, terurus dan terpelihara demi kesejahteraan generasi akan datang. –KOSMO! ONLINE















