PETALING JAYA – Hasrat sepasang suami isteri untuk menimang cahaya mata sulung bertukar menjadi tragedi apabila bayi mereka meninggal dunia selepas dilahirkan dalam keadaan songsang di bilik air rumah di Puncak Alam pada 19 November lalu.
Menerusi perkongsian di Facebook, Mr Wan Cai Official, detik cemas tersebut bermula sekitar pukul 5.40 petang apabila si ibu yang sedang berehat tiba-tiba mengadu sakit perut seperti tanda ingin melahirkan.
Menyedari si isteri dalam kesakitan, suaminya segera menghubungi talian kecemasan 999, namun, panggilan pertama tidak berjawab sehingga memaksa lelaki itu mencuba beberapa kali.
“Panggilan pertama tidak berjawab, menyebabkan si bapa semakin panik. Dalam kesakitan yang semakin memuncak, si isteri berjalan ke bilik air kerana merasakan sudah hendak bersalin.
“Suami yang tidak berputus asa terus mencuba menghubungi talian kecemasan, dan panggilannya akhirnya dijawab namun talian terputus beberapa saat kemudian. Bimbang akan keadaan isterinya, si suami segera menuju ke bilik air,” kongsinya.
Perkongsian itu turut memaklumkan wanita tersbeut terpaksa meneran seorang diri sehingga berjaya mengeluarkan sebahagian tubuh anaknya.
“Di situ, suami mendapati isterinya sudah terbaring dilantai, dengan bayi telah keluar dari bahagian kaki hingga ke paras leher dalam keadaan songsang.
“Si suami memegang tubuh bayi yang masih tersangkut pada rahim, tetapi tidak berani menariknya keluar walaupun didesak oleh isterinya. Dalam keaadan sakit dan lemah, si ibu terus berusaha meneran berulang kali sehingga akhirnya kepala bayi berjaya dilahirkan sepenuhnya,” kata hantaran itu.
Menurut pengendali akaun Facebook itu, suami wanita tersebut kemudian menghubungi semula talian kecemasan dan akhirnya panggilan dijawab dan disambungkan kepada operator perubatan.
“Operator perubatan bertindak membimbingnya melakukan bantuan CPR (bantuan pernafasan kecemasan) ke atas bayi. Namun bayi yang diletakkan dipangkuan ibunya tidak menunjukkan sebarang tindak balas.
“Pegawai perubatan yang tiba di lokasi tidak lama kemudian mengesahkan bayi itu telah meninggal dunia. Ibu dan bayinya kemudian dibawa ke Hospital UiTM Puncak Alam untuk tindakan lanjut, termasuk proses bedah siasat,” katanya.
Bercerita lanjut, jenazah anak mereka, Muhammad Amir Faris kemudiannya dibawa ke Bilik Wakaf Jannatul Firdaus untuk pengurusan terakhir.
“Si bapa diberi peluang memandikan anaknya sendiri dalam suasana pilu. Selepas itu, jasad Muhammad Amir Faris selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Selat Klang selepas solat zuhur.
“Selesai dikebumikan, si ibu turun dari kereta dan berdiri di sisi pusara kecil anaknya. Terdengar kata-kata ‘maafkan mama’ diungkapkan oleh si ibu, membuatkan kami yang ada di situ tidak dapat menahan sebak. Pemergian anak syurga ini pasti meninggalkan ruang kosong yang tidak mungkin terisi,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE















