SHAH ALAM – “Cam mayat, memang adik saya,”
Itu luahan sayu seorang abang selepas mengenal pasti jasad mendiang adiknya, K. Suresh, 37, yang ditemui di perangkap sampah di kawasan Kampung Sungai Kandis, di sini.
Difahamkan jarak lokasi penemuan mayat Suresh dari lokasi dia hilang di Pintasan Saloma dianggarkan lebih 40 kilometer.
Menurutnya yang enggan dikenali berusia 40an berkata, dia bersama seorang lagi adiknya dipanggil polis untuk membuat proses pengecaman selepas dipanggil kira-kira pukul 12 tengah hari susulan penemuan Suresh.
Katanya, sewaktu itu mereka berada di Pusat Kawalan Tempat Kejadian di Pintasan Saloma.
“Saya kenal mayat itu sebagai Suresh
melalui tatu dan wajahnya yang masih dalam keadaan baik. Mayatnya juga elok,” katanya ketika ditemui di pekarangan unit forensik Hospital Shah Alam (HSA) di sini, hari ini.
Dia turut merakamkan penghargaan kepada pasukan operasi mencari dan menyelamat (SAR) dan polis yang tidak pernah berputus asa sepanjang operasi tersebut.
“OCPD Dang Wangi (Asisten Komisioner Sazalee Adam) bagi sokongan moral… mereka kata akan cari sampai jumpa. Mereka bagi harapan dan akhirnya jumpa juga.
“Terima kasih juga kepada semua rakyat Malaysia yang mendoakan dan memberikan kata semangat kepada kami,” katanya.
Bercerita lanjut, abang mangsa itu memaklumkan kali terakhir bertemu dengan Suresh adalah pada Ahad lalu dan tiada perubahan ditunjukkan mendiang.
“Kami memang terkejut dengan insiden itu. Adik saya orangnya rajin, berani dan baik dengan semua. Dia tidak pilih bulu.
“Jujur sebelum ini kami berharap dia selamat. Namun, kami bersyukur dia tetap dijumpai walaupun dalam situasi berbeza,” ujarnya.
Jelasnya, urusan pengebumian akan dijalankan di kediaman mereka di Rawang setelah selesai bedah siasat di HSA.
Terdahulu, Kosmo! melaporkan polis mengesahkan penemuan mayat lelaki berkenaan kira-kira pukul 10.30 pagi tadi.
Mangsa dikatakan dihanyutkan kepala air berhampiran Pintasan Saloma, kira-kira 5.40 petang, Isnin lalu ketika sedang melakukan kerja penambahbaikan Sungai Klang. – KOSMO! ONLINE















