PETALING JAYA – Tiga generasi keluarga Shaik dilaporkan maut dalam satu kebakaran bas di Arab Saudi ketika dalam perjalanan ke Madinah pada 18 November lalu, meninggalkan hanya seorang waris masih hidup di Amerika Syarikat.
Impian keluarga Shaik untuk menunaikan ibadah umrah di Tanah Suci berakhir dengan tragedi apabila 18 ahli keluarga terlibat dalam kemalangan selepas dilaporkan meninggalkan Hyderabad, India pada 9 November lalu.
Waris hidup keluarga itu, Siraj Shaik dilaporkan berkata kepada sebuah portal antrabangsa, tidak dapat menyertai rombongan menunaikan umrah kerana menetap di Amerika Syarikat.
Dalam kejadian itu, seramai 45 orang dilaporkan terkorban, manakala seorang penumpang yang terselamat kini dirawat di unit rawatan rapi di Arab Saudi.
Menurutnya, terpaksa menanggung beban kehilangan keluarga besar itu tidak dapat diungkapkan dengan kata-kata.
Difahamkan, suasana kediaman keluarga itu dipenuhi gelak tawa ketika persiapan terakhir hari sebelum berangkat ke Kota Suci Mekah, beberapa hari sebelum kejadian.
Mereka yang terkorban, Naseeruddin Shaik, 70, isterinya Akhtar Begum, 62, selain seorang anak lelaki serta tiga anak perempuan.
Turut terkorban, dua menantu perempuan keluarga Shaik dan 10 orang cucu berusia antara dua sehingga 25 tahun.
Difahamkan, suami kepada tiga anak perempuan keluarga Shaik yang menetap di berasingan menerima panggilan kehilangan isteri serta anak-anak itu sekali gus mengubah hidup mereka.
Sementara itu, abang kepada menantu perempuan keluarga Shaik, berkata masih sukar menerima situasi tersebut terutama apabila selepas menghantar mereka ke lapangan terbang.
“Seluruh keluarga sangat gembira. Saya sempat bercakap dengan Salahuddin pada Ahad. Mereka dalam perjalanan ke Madinah dan sepatutnya tiba pada petang Isnin.
“Kami malah menghantar mereka ke lapangan terbang. Tiba-tiba, kami mendapat panggilan memaklumkan kemalangan itu berlaku,” ujarnya.
Menurut rakan rapat terkorban, Imam Sharif menganggap anak lelaki keluarga Shaik sebagai saudara kandungnya sendiri.
“Kini, kami sedang berurusan dengan jawatankuasa Haji dan pihak berkuasa untuk melihat sama ada saudara mara boleh ke sana untuk urusan jenazah atau jenazah akan dibawa pulang,” katanya.
Untuk rekod, keluarga yang menetap di India itu sudah menjadi sebahagian daripada komuniti Vidyanagar sejak hampir sedekad lalu selepas Naseeruddin bersara. –KOSMO! ONLINE















