SHAH ALAM – Hakim Mahkamah Sesyen hari ini memberikan teguran keras kepada dua bekas eksekutif bank dan kakitangan bank keseluruhannya supaya menjaga integriti dalam amalan seharian mereka.
“Ini sebagai peringatan semua masyarakat terutama yg bekerja di industri perbankan yang mereka perlu jaga integriti.
“Ia akan beri satu mesej yang salah kalau perbuatan ini meningkat dan berleluasa dan akan hilangkan keyakinan masyarakat termasuk keyakinan pelabur terhadap perbankan,” kata Hakim Awang Kerisnada Awang Mahmud sebelum menjatuhi denda RM16,000 kepada Mohd. Fauran Mohd. Nawawi, 35.
Mahkamah turut memerintahkan Mohd. Fauran dipenjara 16 bulan sekiranya gagal membayar denda berkenaan.
Terdahulu, Mohd. Fauran mengaku bersalah empat pertuduhan pilihan tidak melaporkan pemberian suapan wang tunai keseluruhan RM7,212 yang dimasukkan dalam akaun banknya sebagai upah bagi mencadangkan sebuah firma guaman bagi penyediaan lima pinjaman pembiayaan perumahan yang dianggarkan berjumlah RM2.45 juta.
Justeru, bapa kepada empat anak itu dituduh mengikut Seksyen 25 (1) Akta SPRM 2009 yang sabit kesalahan boleh dihukum penjara sehingga 10 tahun atau denda tidak lebih RM100,000 atau kedua-duanya.
Di Mahkamah Sesyen berasingan, Hakim Datuk Mohd. Nasir Nordin menjatuhkan hukuman denda RM20,000 dan penjara 20 bulan sekiranya gagal membayar terhadap seorang lagi bekas eksekutif bank, Mohd. Khairuddin Jamaludin, 33.
Ini selepas tertuduh itu mengaku bersalah lima pertuduhan pilihan, menerima suapan wang tunai keseluruhan RM14,883 bagi penyediaan dokumen penjanjian pembiayaan perumahan dianggarkan RM4.35 juta.
Wang rasuah itu dimasukkan dalam akaun bank miliknya dari akaun bank milik firma guaman sama selain pertuduhan dibuat bawah seksyen sama.
Kesemua kesalahan itu dilakukan kedua-dua tertuduh di cawangan bank sama di Shah Alam antara 20 Julai 2018 hingga 8 Februari 2023.
Pendakwaan dibuat Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Nurul Izzati Sapifee sementara dua tertuduh tidak diwakili peguam.
Dalam pada itu, mahkamah menetapkan 21 Januari depan sebagai tarikh sebutan semula terhadap Riyuni Usri,33, yang mengaku tidak bersalah atas 20 pertuduhan termasuk 10 pertuduhan pilihan rasuah sebanyak RM9,169.
Ini bagi penyediaan 13 pinjaman pembiayaan yang dianggarkan berjumlah RM5 juta yang dilakukan tertuduh tersebut antara 11 Oktober 2018 hingga 3 September 2019. – KOSMO! ONLINE















