PETALING JAYA – “Ini upacara pengebumian Islam pertama, begitu menyayat hati.”
Itu luahan seorang lelaki bangsa Cina yang kagum dengan majlis pengebumian orang Islam dipercayai selepas pengebumian rakan mualafnya.
Menerusi hantaran di laman Facebook Ulasan Apek Cina, lelaki tersebut tersentuh hati dengan upacara pengebumian orang Islam yang dianggap penuh dengan penghormatan.
“Arwah meninggal pada awal pagi semalam dan sampai di tapak Masjid pada pukul 11. Kemudian, jenazah dimandikan dan dikafankan.
“Kami juga dibenarkan melawat arwah buat kali terakhir. Wajah arwah begitu tenang seperti tertidur.
“Berbanding dengan Mendiang nenek saya yang berlangsung selama beberapa hari sehingga saya tidak dapat mengenali wajahnya,” ujarnya.
Jelasnya, orang ramai turut solat jenazah walaupun tidak mengenali arwah serta membantu mengangkat keranda ke van jenazah.
“Prosesnya cepat, serius dan penuh dengan penghormatan. Wajah terakhir arwah yang tenang seolah-olah seperti orang yang tertidur, bakal terpahat dalam hati saya,” katanya.
Perkongsian tersebut meraih pelbagai reaksi netizen termasuk rata-rata mendoakan lelaki bangsa Cina itu mendapat hidayah.
“Setiap insan dihormati dengan segera, sederhana dan penuh kasih sayang kerana kemuliaan seseorang tidak hilang walaupun selepas dia pergi. Doa saya bersama arwah serta ketenangan hati tuan turut dirahmati,” kata Zaiem Razak.
“Baca ini buatkan rasa sayu di hati. Mungkin kerana tulisan dari yang bukan seagama. Terus saya doa untuk arwah dan tuan,” komen @RinduwatyIsa.
“Saya terharu dan seronok membaca apa yang apek tulis. Semoga Allah memberi taufik dan hidayah buat apek,” komen @KyleRijalHashim –KOSMO! ONLINE















