PETALING JAYA- Fujifilm Malaysia terus memperkukuhkan kedudukan di pasaran dengan melancarkan dua tambahan kepada barisan pengimejan ikoniknya iaitu instax mini LiPlay+ dan Fujifilm X-T300III.
Pelancaran kamera model baharu ini menandakan satu lagi kejayaan dalam misi Fujifilm untuk memperkasakan pengguna merakam, mencetak, dan berkongsi detik-detik paling bermakna dalam hidup melalui teknologi pengimejan yang inovatif.
Pengarah Urusan Fujifilm Malaysia, Kensuke Aragane berkata, pelancaran kedua-dua model baharu itu meraikan kepercayaan mereka bahawa fotografi menghubungkan insan dan menyebarkan kegembiraan.
Menurutnya, mereka juga memberikan pengguna lebih banyak cara untuk mengekspresikan diri dan mencipta kenangan abadi.
“Bagi Fujifilm X-T300III, ia merupakan sebuah kamera yang mempunyai gabungan ciri kompak dan berprestasi tinggi yang ditawarkan pada harga yang sangat menarik.
“Walaupun bersaiz kompak, spesifikasinya hampir setanding dengan model yang lebih mewah, menjadikannya menarik untuk pengguna amatur sehinggalah profesional,” katanya.
Tambahnya, bagi instax mini LiPlay+ pula, ia merupakan salah satu produk yang unik dan satu-satunya di pasaran.
Malah, instax mini LiPlay+ mengekalkan reka bentuk hibridnya yang membolehkan pengguna melihat pratonton gambar pada skrin LCD sebelum mencetakknya.
Bagi Fujifilm X-T300III ianya ditawarkan pada harga RM4,248 untuk badan kamera sahaja, manakala jika disertakan dengan lensa XC13-33mmF3.5-6.3 OIS akan dijual pada harga RM4,898.
Manakala bagi instax mini LiPlay+, ianya ditawarkan pada harga RM938 merangkumi satu kamera dan satu pek filem kosong. – KOSMO! ONLINE















