LONDON – Bekas penyerang Liga Perdana Inggeris, Louis Saha memberi bayangan mengenai kedudukan empat pasukan teratas Liga Perdana Inggeris selepas berakhirnya saingan minggu ini yang kembali bersambung.
Bekas penggempur Fulham dan Manchester United itu percaya bahawa Arsenal akan terus kekal mengemudi carta biarpun berdepan cabaran sengit aksi derbi London menentang Tottenham Hotspur.
“Saya bukanlah peminat Arsenal, tetapi pasukan ini kelihatan lengkap dan mereka berpeluang untuk mengekalkan prestasi dan meraih kemenangan.
“Mereka memulakan musim dan melaluinya dengan baik setakat ini, tetapi mereka perlu menjangkakan kemungkinan penurunan prestasi. Bagaimanapun, saya tidak melihat mereka bakal menghadapinya ketika ini,” katanya.
Saha juga menjangkakan Manchester City juga akan terus memberi tekanan kepada Arsenal apabila dijangka meraih kemenangan menentang Newcastle United, selain Chelsea juga mampu mengekalkan kedudukan di tempat ketiga apabila hanya bertemu Burnley.
Bagaimanapun, apa yang mengejutkan adalah Saha percaya bekas pasukannya, United mampu menerobos kelompok lima pasukan terbaik ketika bakal bertemu Everton sekali gus meraih kemenangan selepas seri dalam dua aksi terakhir.
“Saya selalu percaya dengan ‘jenis’ pemain yang dimiliki United ketika ini, jika mereka mampu mendapatkan persefahaman, mereka akan kembali ke pentas Eropah,” jelasnya. – AGENSI















