ISKANDAR PUTERI – Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor hari ini sebulat suara meluluskan Belanjawan 2026 berjumlah RM2.546 bilion.
Belanjawan Johor 2026 itu dibentangkan Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi pada 13 November lalu.
Dalam pembentangan sebelum ini, beliau memaklumkan belanjawan surplus berkenaan berteraskan prinsip amanah dan kesejahteraan rakyat, mencerminkan komitmen kerajaan negeri untuk menyeimbangkan pembangunan ekonomi dengan tanggungjawab sosial.
Katanya, Belanjawan 2026 memberi keutamaan kepada sektor-sektor yang menyentuh kepentingan rakyat termasuk pendidikan dan TVET, kesihatan, perumahan, infrastruktur luar bandar serta kesejahteraan sosial.
Jelasnya, Belanjawan 2026 bukan sahaja memperkukuh asas ekonomi negeri, tetapi turut menzahirkan nilai tanggungjawab moral dan sosial terhadap rakyat.
Terdahulu, Belanjawan Johor 2026 turut memperuntukkan RM200,000 kepada pengamal media di bawah inisiatif Bantuan Kasih Johor (BKJ) melalui pemberian tunai RM1,000 seorang kepada pengamal media yang berdaftar dengan Kelab Media Johor (KMJ).
Kerajaan Johor juga mengumumkan pemberian insentif khas sebanyak dua bulan gaji kepada penjawat awam negeri sebagai tanda penghargaan atas usaha dan dedikasi yang dicurahkan golongan berkenaan.
Disamping itu insentif khas sebanyak RM500 seorang pula akan diberikan kepada 140,185 penjawat awam Persekutuan yang berkhidmat di negeri itu dengan peruntukan RM70.1 juta.-KOSMO! ONLINE















