fbpx
DANISH

Danish buru hadiah perpisahan di JrGP

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PELUMBA muda sensasi negara, Hakim Danish Ramli berada pada motivasi terbaik untuk memburu kemenangan pada pusingan penutup tirai Kejuaraan Dunia FIM JuniorGP (JrGP) di Litar Ricardo Tormo, Valencia hujung minggu ini.

Danish tiba di litar sepanjang 4.01 kilometer (km) itu dengan semangat membara selepas mempamerkan aksi memberangsangkan dalam Kejuaraan Dunia Moto3 baru-baru ini apabila terus mengutip mata bersama MSi Racing Team.

Bertindak sebagai pelumba gantian kepada Ryusei Yamanaka bagi dua perlumbaan di GP Portugal dan GP Valencia, Danish memperlihatkan potensinya apabila berjaya menamatkan perlumbaan di tempat ke-14 serta mengutip enam mata secara keseluruhan.

Pengalaman berharga bersaing dengan pelumba-pelumba elit dunia mahu dimanfaatkan sepenuhnya oleh Danish apabila kembali ke kancah JrGP minggu ini.

“Saya lebih bersemangat menghadapi pusingan akhir JrGP. Saya akan cuba sehabis baik dan berikan tentangan habis-habisan.

“Seperti semua tahu, ini adalah perlumbaan terakhir saya dalam JrGP sebelum melangkah ke Kejuaraan Dunia Moto3 tahun hadapan secara rasmi,” katanya.

Mengulas persiapan di Litar Ricardo Tormo yang memiliki karakter teknikal dengan lima selekoh kanan dan sembilan selekoh kiri, Danish optimis pasukan akan menyediakan jentera terbaik.

“Daripada pengalaman dan pembelajaran dalam Moto3, saya dapat tingkatkan banyak perkara terutama dalam aspek brek, pengendalian jentera dan rentak sepusingan.

“Jadi saya akan berikan yang terbaik dan berjuang sepenuhnya. Sasaran saya untuk meraih kemenangan dalam perlumbaan kali ini,” jelasnya.

Dua perlumbaan pada Ahad ini juga bakal menjadi medan perpisahan Danish dalam kelas junior sebelum memulakan cabaran penuh di pentas dunia Moto3 tahun depan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN