fbpx
Empangan Timah Tasoh. - Gambar hiasan

Aras Empangan Timah Tasoh naik, pintu limpah dibuka esok

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KANGAR – Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Perlis akan melaksanakan operasi pembukaan pintu Alur Limpah Barat di Empangan Timah Tasoh esok berikutan peningkatan berterusan aras air empangan tersebut.

Menurut JPS negeri, pihaknya melakukan pemantauan berterusan terhadap aras air berikutan amaran hujan berterusan yang dikeluarkan oleh Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) pada 17 November lalu.

“Hasil pemantauan terkini menunjukkan berlaku peningkatan berterusan aras air sejak amaran dikeluarkan.

“Sehubungan itu, JPS Perlis akan melaksanakan operasi pembukaan pintu Alur Limpah Barat pada Sabtu, 22 November 2025,” katanya dalam kenyataan di Facebook hari ini.

Menurut kenyataan itu lagi, pelaksanaan tersebut adalah mengikut prosedur operasi standard (SOP) bagi memastikan keselamatan struktur empangan serta kelancaran pelepasan air secara terkawal.

“Untuk makluman, pelepasan air melalui Alur Limpah Barat akan disalurkan ke Lencongan Banjir Barat (LBB) Timah Tasoh sebelum dilepaskan ke laut melalui Barrage Kuala Perlis.

“Pelepasan ini tidak melibatkan sungai-sungai utama di kawasan bandar seperti Sungai Korok, Sungai Santan dan Sungai Perlis,” ujarnya.

Susulan peningkatan aliran air sepanjang LBB ketika pelepasan dilaksanakan, JPS Perlis meminta orang ramai untuk tidak menjalankan sebarang aktiviti di sepanjang LBB termasuk kawasan rekreasi Kampung Wai bagi mengelakkan risiko keselamatan.

“Elakkan berada di kawasan tebing sungai, kawasan rendah serta lokasi yang berpotensi mengalami aliran deras,” katanya.

Orang ramai juga diminta untuk sentiasa berwaspada dan mengikuti perkembangan semasa cuaca. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN