PETALING JAYA – Rata-rata pengguna media sosial Malaysia ‘mengakui’ bahawa bandar raya Bangkok adalah lebih maju dan Kuala Lumpur jauh ‘ketinggalan’ dari segi prasarananya.
Bagaimanapun, rantaian komen-komen ‘troll’ tersebut yang ditujukan kepada hantaran seorang pengguna Threads @aobasanai tersebut ternyata mencuri perhatian sekali gus mengundang pelbagai reaksi.
Terdahulu, @aobasanai telah memuat naik hantaran gambar berserta kapsyen “Bangkok 400 kali lebih maju berbanding Kuala Lumpur.”
“Saya rakyat Malaysia dan apa yang awak cakap itu betul. Bangkok jauh lebih maju, sama macam Singapura. Malaysia tiada apa-apa. Hutan dan monyet sahaja. Tolong abaikan Malaysia dan terus pergi ke Thailand,” komen Nadia.
“Saya boleh sahkan, ini pun saya terpaksa lari ke Singapura untuk hantar komen ni. Saya pun tidak tahu awak akan balas atau tidak komen ni sebab Malaysia tiada internet,” kata Nathaniel Ng sinis.
“Betul! Saya sangat setuju dengan apa yang awak cakap. Tiada apa-apa pun di sini,” komen Afrah.
“Saya suka membaca komen daripada rakyat Malaysia, mereka tidak kisah, sikap ini membuatkan saya ketawa. Korang memang ‘savage’,” ujar @iamdyazamli.
“Jadi sekarang orang Malaysia ‘bertelagah’ dengan orang Thai? Sebagai orang Indonesia, saya rasa ‘terkhianati’,” komen @daw.leen. – KOSMO! ONLINE















