SEVILLE – Sepanyol mengesahkan kemaraan ke pusingan akhir Piala Dunia 2026 apabila menjadi juara Kumpulan E Kelayakan Piala Dunia selepas mencatat keputusan seri 2-2 menentang Turkiye di Stadium La Cartuja, awal pagi semalam.
Bagaimanapun, keputusan itu menyaksikan skuad La Roja kempunan untuk mengekalkan rekod sempurna pada aksi kelayakan memandangkan mereka memenangi kesemua lima perlawanan yang diharungi sebelum ini.
Pada perlawanan tersebut, Sepanyol yang merupakan juara Euro 2024 menjaringkan dua gol menerusi Dani Olmo dan Mikel Oyarzabal, manakala gol Turkiye dijaringkan Deniz Gul dan Salih Ozcan.
Ketua Jurulatih Sepanyol, Luis De La Fuente berkata, pasukan itu masih memiliki banyak kekurangan, terutamanya turun tanpa beberapa pemain utama seperti Lamine Yamal, Nico Williams dan Rodri.
“Masih banyak kerja perlu dilakukan kerana kekurangan dapat dilihat sepanjang perlawanan hari ini (semalam). Kami perlu melakukan persediaan terbaik sebelum menggalas misi di Piala Dunia nanti.
“Saya harap semua pemain boleh menggalas tanggungjawab besar ini apabila pertandingan sebenar berlangsung. Saya mahu membawa pemain terbaik dan cuba untuk memenangi trofi tersebut,” katanya.
Sementara itu, Olmo mengakui sedikit kecewa dengan keputusan tersebut kerana dia dan rakan sepasukan turun membawa misi untuk mengekalkan rekod sempurna Sepanyol dalam aksi kelayakan tersebut. – AGENSI















