TANJUNG MALIM – Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) telah melancarkan lima inisiatif utama bagi memperkukuh budaya integriti dan tadbir urus berasaskan ketelusan serta akauntabiliti dalam seluruh pentadbiran.
Pengarah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Perak, Datuk Ahmad Sabri Mohamed berkata, UPSI tampil sebagai institusi yang menegakkan integriti melalui pendekatan pencegahan yang bersifat sistemik.
“Melalui pelancaran Sistem Pengurusan Antirasuah MS ISO 37001:2025 (ABMS), Sistem My Audit Intrack (MyAIT), Sistem Isytihar Harta UPSI (E-Harta), Sistem Pengurusan Bahan Kimia UPSI (ChemAlert) dan Modul Intervensi Antigangguan Seksual UPSI.
“Usaha UPSI ini membuktikan bahawa integriti bukan slogan, tetapi langkah nyata yang dizahirkan melalui pelaksanaan sistem yang telus, berstruktur dan boleh diaudit,” katanya di Dewan Tuanku Canselor, UPSI Kampus Sultan Azlan Shah di sini hari ini.
Terdahulu, beliau berucap pada majlis Sambutan Hari Integriti dan Hari Pengasasan SITC-MPSI-IPSI-UPSI sempena Perhimpunan Bulanan Edisi November 2025.- KOSMO! ONLINE















