PETALING JAYA – Demi memenuhi tanggungjawab dan mahu melihat perubahan di kawasan masing-masing, golongan perantau Sabah sanggup berhabis ribuan ringgit untuk pulang mengundi pada Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN17) Sabah, 29 November ini.
Bagi mereka, PRN17 bukan sekadar proses demokrasi, tetapi juga nadi masa depan negeri yang mereka cintai sejak kecil.
Di Shah Alam, seorang kakitangan hotel, Dedymus Rofinus, 39, berkata, dia sanggup mengeluarkan belanja lebih RM500 untuk tiket penerbangan dua hala semata-mata bagi memastikan undinya memberikan impak dan membuktikan peranan penting perantau Sabah dalam membentuk arah tuju negeri.
Dia yang telah 25 tahun di Semenanjung memaklumkan, dirinya tidak pernah ketinggalan pulang mengundi.
“Saya selalu travel. Bila balik Tawau, saya tengok kenapa masih sama? Saya mahu pembaharuan. Undi saya mungkin kecil, tapi ia boleh bantu pemimpin baharu ‘mewarnakan’ Tawau jadi bandar lebih maju,” katanya kepada Kosmo! di sini semalam.
Dedymus yang akan menaiki penerbangan pada 28 November ini mengakui keterujaannya terhadap PRN17 Sabah tidak pernah surut, lebih-lebih lagi dengan persaingan ramai calon daripada pelbagai parti.
“Tambahan pula, isu besar seperti tuntutan 40 peratus hasil Sabah yang kembali menjadi tumpuan. Baginya, pilihan raya kali ini adalah peluang untuk satu perubahan sebenar,” ujarnya.
Bagi seorang lagi anak Sabah, Mohd. Asri Mahmod, 34, dia yang merupakan pengundi bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sekong, Sandakan berharap lebih banyak peluang pekerjaan dan infrastruktur terutama jalan raya dinaik taraf sewajarnya.
“Saya baharu dua bulan bekerja di Semenanjung dan akan pulang kerana ini merupakan tanggungjawab sebagai anak Sabah. Harap perbelanjaan sebanyak RM500 yang dikeluarkan berbaloi dengan pemimpin dipilih dalam PRN ini,” ujarnya.
Mohd. Asri menegaskan, kriteria calon pilihannya ialah individu yang turun padang, mesra rakyat dan berusaha untuk pembangunan menyentuh kehidupan seharian.

Dalam pada itu di Johor Bahru, Ismahani Juzailah Ismail, 22, berkata, PRN17 kali ini amat bermakna buat dirinya kerana ia adalah pengalaman pertamanya mengundi secara fizikal selepas sebelum ini hanya layak mengundi secara pos akibat kekangan kos dan jadual pengajian.
Ismahani yang juga pelajar tahun akhir Ijazah Sarjana Muda Teknologi Pendidikan (Kejuruteraan Awam) Universiti Teknologi Malaysia (UTM) memberitahu, sejak tarikh PRN Sabah diumumkan, dia telah mula membuat semakan harga tiket untuk mendapatkan harga termurah.
“Saya mula memeriksa harga tiket sejak Oktober lalu. Alhamdulillah, saya dapat tiket penerbangan murah iaitu RM161 dan total perjalanan saya dari Johor ke Sabah dalam RM221 sehala.
“Secara keseluruhan, saya anggarkan kos pergi balik sekitar RM500 hingga RM600. Walaupun mahal bagi pelajar macam saya, tapi undi itu amanah dan masa depan negeri, sebab itu saya sanggup balik,” katanya yang berasal dari Kota Belud.
Tambahnya, persaingan sengit antara parti terutama tempatan membuatkan dia merasakan kehadirannya di pusat mengundi di DUN Kadamaian, Parlimen Kota Belud amat penting.
Sementara itu, seorang lagi pelajar UTM, Nur Awatif Abd. Latip, 25, berkata, dia sanggup mengeluarkan belanja tiket penerbangan sebanyak RM1,022.98 bagi perjalanan dua hala Johor Bahru ke Kota Kinabalu bagi memenuhi tanggungjawab sebagai pengundi di DUN Bongawan.
“Kali ini saya bukan saja pulang untuk mengundi, tetapi juga untuk tengok nenek yang kurang sihat. Dalam masa sama, saya rasa wajib balik sebab pilihan raya menentukan masa depan Sabah,” katanya.
Nur Awatif berkata, ini merupakan kali kedua dia menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi dan mengakui kos yang tinggi bukan alasan untuk ‘lepas tangan’ dalam menentukan hala tuju negeri.
Sementara itu, seorang kakitangan awam, Hasnah Junid yang bakal mengundi buat pertama kali di pusat pengundian, kos perjalanan mencecah hampir RM1,000 langsung tidak melemahkan semangatnya.
“Saya sanggup balik demi menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi. Selama ini hanya undi pos sebab kekangan tugas, jadi kali ini saya memang teruja.
“Walaupun tiket hampir RM1,000, saya tetap balik sebab setiap undi amat berharga,” katanya yang akan mengundi di DUN Bandau dan Parlimen Kota Marudu.
Hasnah berkata, pemilihan kerajaan negeri amat penting bagi memastikan Sabah keluar dari kepompong kemiskinan, apatah lagi persaingan kali ini sangat sengit terutama antara parti-parti tempatan.














