KUALA LUMPUR – Tiada pesawat Malaysia Airlines Berhad (MAS) yang digantung operasi akibat masalah teknikal pada masa ini.
Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Hasbi Habibollah berkata, pesawat MAS yang tidak beroperasi hanya kerana dalam proses penyelenggaraan berkala.
“Penyelenggaraan berkala dilaksanakan mengikut keperluan keselamatan serta piawaian industri penerbangan,” katanya pada sidang Dewan Rakyat di sini hari ini.
Beliau menjawab soalan Dr. Mohammed Taufiq Johari (PH-Sungai Petani) berhubung jumlah pesawat MAS yang tidak beroperasi akibat kerosakan serta kos yang ditanggung kerajaan.
Hasbi berkata, Malaysia Aviation Group (MAG) merupakan sebuah entiti perniagaan yang beroperasi secara komersial.
Menurut beliau, segala keputusan berkaitan operasi termasuk aspek penyelenggaraan dan pembaikan pesawat adalah keputusan korporat yang dibuat berdasarkan keperluan operasi syarikat
Justeru, katanya, kos pembaikan dan penyelenggaraan adalah ditanggung sepenuhnya oleh pihak MAG sebagai sebahagian daripada kos operasi.
“Kementerian Pengangkutan tidak menanggung sebarang kos berkaitan,” katanya.
Sementara itu, katanya, bilangan jurutera pesawat yang berkelayakan dan diiktiraf oleh Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) pada masa ini seramai 4,113 orang.
“Seramai 2,318 memegang lesen kategori B1 (mekanikal), 879 memegang lesen kategori B2 (avionik), 51 memegang kedua-dua lesen B1 dan B2, dan 865 memegang lesen kategori A (technician),” katanya. – KOSMO! ONLINE















