KUALA LUMPUR – Beregu lelaki negara, Wan Arif Junaidi-Yap Roy King berdepan kejutan apabila tersingkir di pusingan kedua pada Kejohanan Badminton Terbuka Australia.
Pada perlawanan yang berlangsung di Olympic Boulevard, Sydney sebentar tadi, pasangan No.18 dunia itu tewas 19-21, 13-21 kepada beregu veteran, Choi Sol Gyu-Goh V Shem.
Walaupun dianggap sebagai pilihan pada perlawanan itu, namun Arif-Roy King berdepan kesukaran ekoran pengalaman luas dimiliki Sol Gyu-V Shem.
Meskipun cuba melakukan kebangkitan di set kedua untuk sekurang-kurangnya mengheret perlawanan ke set penentuan, namun mereka terpaksa akur tewas dalam tempoh 36 minit.
Kekalahan tersebut menyaksikan Arif-Roy King gagal untuk mengulangi pencapaian tahun lalu di mana mereka berjaya melangkah ke suku akhir pada aksi Jelajah Dunia Super 500 itu.
Menjelang aksi suku akhir esok, Sol Gyu-V Shem dijadualkan bertemu beregu profesional negara, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani. – KOSMO! ONLINE















