BATU PAHAT – Seorang warga emas mengaku salah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas tuduhan mencederakan dan melakukan khianat dengan menyimbah peluntur kerana berang mangsa tidak melunaskan hutang berjumlah RM150,000 awal bulan ini.
Tertuduh, Eyu Ah Ming@Ee Chin Chang, 78, yang berdepan dua pertuduhan membuat pengakuan itu di hadapan Majistret Nurasidah A. Rahman.
Mengikut pertuduhan pertama, bapa anak satu itu didakwa menyimbah peluntur ke atas baju mangsa lelaki berusia 43 tahun di hadapan sebuah kedai haiwan di Taman Flora Utama, di sini pukul 3.50 petang, 4 November lalu.
Oleh itu, dia dituduh mengikut Seksyen 426 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum penjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya.
Bagi pertuduhan kedua, pekerja kebun itu didakwa dengan sengaja mencederakan mangsa sama. Kesalahan itu dilakukan pada tarikh, lokasi dan waktu sama. Dia didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga setahun atau denda RM2,000.
Berdasarkan fakta kes, tertuduh ke tempat kerja mangsa dalam keadaan marah kerana mahu menuntut hutang RM150,000. Namun lelaki itu memberitahu dia tidak pernah berhutang dengan tertuduh menyebabkan mangsa naik angin lalu menendang serta menyimbah peluntur.
Kejadian itu turut disaksikan beberapa individu selain dirakam televisyen litar tertutup (CCTV) di premis terbabit. Pada prosiding itu, pendakwaan diketuai Timbalan Pendakwa Raya, Farah Wahidah Mohd Sharip manakala tertuduh diwakili peguam Kamarulariffin Nordin daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan.
Mahkamah menjatuhkan hukuman denda RM2,000 bagi kedua-dua kesalahan itu atau penjara dua bulan jika gagal bayar. Tertuduh membayar denda tersebut.-KOSMO! ONLINE















