GUA MUSANG – Kira-kira 30 murid dan pelajar di Batu 11, Kampung Serian di sini hari ini tidak hadir ke sekolah apabila sebuah jambatan yang menjadi laluan utama ke kampung itu dilimpahi air Sungai Galas.
Penduduk kampung menyedari laluan utama terputus hubungan selepas air Sungai Galas melimpah setinggi lebih empat meter kira-kira pukul 1 pagi tadi.
Seorang penduduk kampung, Muhamad Rofi Ismail, 58, berkata, keadaan itu menyebabkan penduduk tidak dapat ke kebun dan menghantar anak ke sekolah.
“Lebih 30 murid dan kanak-kanak tabika tidak dapat ke sekolah hari ini selepas paras air menutup laluan jambatan.
“Paras air ketika ini dilihat masih bertahan dan mungkin mengambil masa beberapa jam lagi untuk surut,” katanya.
Seorang lagi penduduk, Hazimah Ibrahim, 52, pula berkata, hujan lebat bermula pukul 7 malam semalam menyebabkan penduduk kampung tidak lena tidur dan ada yang berjaga kerana bimbang rumah mereka dinaiki air.
Menurutnya, dia terkejut apabila laluan masuk dan keluar kampung dilimpahi sejak awal pagi tadi.
“Laluan ini memang kerap dinaiki air sekiranya berlaku hujan lebat dan musim tengkujuh. Penduduk yang berada di kawasan berhampiran jambatan tidak dapat tidur semalam dan mereka sudah bersiap sedia untuk berpindah sekiranya air terus naik,” katanya. – KOSMO! ONLINE















