fbpx
Fadhlina

Sekolah terapung beri akses pendidikan untuk murid kawasan terpencil

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Program Sekolah Terapung di kawasan terpencil menggunakan rumah rakit memberi akses pendidikan yang lebih baik kepada komuniti Orang Asli dan penduduk pedalaman.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, program itu telah diperkenalkan di beberapa kawasan terpencil di Perak, Kelantan dan Sabah membabitkan jumlah keseluruhan 246 murid.

Menurut beliau, Program Sekolah Terapung berpotensi untuk dikembangkan ke kawasan pedalaman lain jika terdapat keperluan, kesediaan komuniti dan kesesuaian geografi.

“KPM melihat program sekolah terapung sebagai model pendidikan kreatif dan inovatif atas prinsip mencari penyelesaian keperluan setempat.

“Kementerian kekal beriltizam memastikan tiada murid tercicir dan setiap kanak-kanak menerima akses pendidikan yang relevan serta berkesan,” katanya pada sidang Dewan Rakyat di sini hari ini.

Beliau menjawab soalan S. Kesavan (PH-Sg Siput) mengenai pelaksanaan sekolah terapung di Hulu Perak serta perancangan KPM untuk memperluaskan inisiatif tersebut.

Fadhlina berkata, pelaksanaan program itu mendapat sokongan Jabatan Pendidikan Negeri Perak, Pejabat Pendidikan Daerah Hulu Perak dan agensi berkaitan melalui penyediaan latihan khas kepada guru.

Mengenai pelaksanaan sekolah terapung di Hulu Perak, Fadhlina berkata, program itu di Tasik Banding diperkenalkan sebagai inisiatif bawah program khas pendidikan manusiawi.

Menurut beliau, ia bertujuan menyelesaikan masalah murid yang menghadapi cabaran jarak, demografi, rintangan pengangkutan dan tiada keperluan asas untuk ke sekolah.

Jelas beliau, program yang bermula pada 13 Oktober lalu tersebut beroperasi menggunakan rumah rakit sebagai ruang pembelajaran mudah alih.

“Seramai 48 murid bersekolah di sana membabitkan pelajar berusia antara enam hingga 16 tahun,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI