BUKAN sahaja berjaya sebagai usahawan, Datuk Seri Vida juga tidak ketinggalan mahu menjual bakat dalam industri seni apabila mengeluarkan beberapa single sendiri.
Tahun ini, Vida mengembangkan sayap dalam aktiviti seninya menerusi lakonan apabila terlibat dalam filem Jibrail arahan Azlan Norani.
Pemilik nama sebenar Hasmiza Othman itu kini sedang sibuk menyiapkan karya tersebut yang dijangka ditayangkan pada Januari 2026.
“Saya sebenarnya pelakon utama karya seterusnya Azlan Norani yang kini sudah menjalani penggambaran sebanyak 80 peratus.
“Cerita ini sedih dan saya berlakon sebab mahu menyokong Azlan. Setahun dia tunggu jawapan daripada saya kerana saya tak boleh hafal skrip dengan sempurna serta tidak mahu susahkan orang.
“Tapi dia mahu ikut masa saya. Saya akan pegang watak sebagai ibu Jibrail yang melalui halangan dan rintangan dalam perjalanan hidup dibuli, ditipu dan dizalimi masyarakat,” katanya kepada HibGlam.
Berkongsi lanjut, usahawan berusia 54 tahun itu memaklumkan menerima tawaran berlakon disebabkan mahu membantu Azlan selaku rakannya selain karya tersebut dibikin khas untuk dirinya.
“Saya terima filem ini apabila diberitahu pihak produksi bahawa karya ini khusus dibuat untuk saya. Saya hargai dan orang akan tengok sisi berbeza saya.
“Sebelum ini saya seorang yang happy go lucky tapi dalam cerita ini sangat lain. Orang tak sangka saya pelakon air mata yang hebat. Watak saya macam Joker versi perempuan. Seorang wanita yang penuh dengan dendam,” ujarnya lagi.
Mengulas soal persediaan, Vida mengakui tidak sempat mengikuti kelas lakonan kerana jadualnya terlalu padat.
“Saya tak ambil kelas dan belajar sendiri masa dekat set saja. Saya ada bermain dengan senjata juga. Tapi latihan kami buat sejam sebelum menjalani penggambaran sebab tak sempat.
“Itu yang terbaik saya boleh hasilkan dan bakal mengejutkan masyarakat dengan menonjolkan sisi berbeza. Sayalah pelakon hebat tahun hadapan,” jelasnya.














