JOHOR BAHRU – Di sebalik senyuman manis yang terpancar dari raut wajah seorang gadis dari Batu Berendam, Melaka tatkala menaiki pentas Majlis Konvokesyen ke-69, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) semalam tersimpan 1001 kisah perjuangan menempuhi detik sukar dalam kehidupannya.
Bagi kebanyakan pelajar, menerima segulung ijazah mungkin sekadar tanda tamatnya pengajian, namun bagi Nur Farrah Izzati Yusri, 26, ia adalah bukti bahawa ‘keajaiban’ wujud untuk mereka yang memilih untuk tidak mengalah meskipun diuji dengan masalah kesihatan.
Ujar anak kedua daripada tiga beradik itu, segalanya bermula pada 2019 apabila hidupnya berubah sekelip mata selepas disahkan menghidap Adult Acute Lymphoblastic Leukemia (ALL), kanser darah agresif yang mampu meragut nyawa jika tidak dirawat segera.
“Saya memulakan pengajian Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Awam pada 2018. Pada 2019 saya disahkan menghidap kanser darah dan terpaksa tangguh belajar untuk rawatan.
“Enam bulan saya jalani rawatan di Hospital Melaka sebelum dipindahkan ke Hospital Ampang untuk menjalani pemindahan sel stem, prosedur berisiko tinggi yang hanya menawarkan dua pilihan iaitu peluang hidup atau mati.
“Dari 2020 hingga 2021, semasa negara dilanda Covid-19, saya sambung belajar secara online tetapi terpaksa tangguh sekali lagi sebab leukemia menyerang kembali,” katanya kepada Kosmo! baru-baru ini
Ujarnya, pada 2022 hingga 2025 dia berjuang menamatkan pengajian biarkan tahu dalam dirinya ada derita yang tiada penghujung.
Takdir kembali menguji apabila pada Julai lalu dia disahkan menghidap kanser lidah, membuatkan perjalanan menuju impian semakin payah namun tetap diteruskan dengan jiwa yang cekal.
Di tengah badai ujian, hadir insan yang menjadi pelita harapan hidupnya iaitu adik, Nur Idris Syah, 23, yang mendermakan sel stem demi menyelamatkan nyawanya dan ibu, Idah Abu Bakar, 51, serta abangnya, Muhammad Ridhuan, 27, yang setia menjadi penjaga, penyokong dan doa yang tidak pernah putus.
“Jika saya tak dapat sel stem daripada adik saya, mungkin saya tak ada hari ini,” katanya.
Pada 17 November lalu, segala air mata, kesakitan dan pengorbanan itu terbalas apabila dia berdiri megah di pentas konvokesyen bukan sekadar graduan Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Awam, tetapi simbol ketabahan luar biasa seorang wanita yang menolak untuk rebah.














