KYIV – Tentera Russia membedil dua bangunan pangsapuri, menyebabkan lebih 26 orang termasuk tiga kanak-kanak terbunuh dalam serangan berskala besar yang jarang berlaku di barat Ukraine, lapor saluran berita CNN.
“Serangan besar-besaran ke atas bandar Ternopil mengorbankan sekurang-kurangnya 26 orang dan mencederakan hampir 100 yang lain,” kata Menteri Dalam Negeri Ukraine, Ihor Klymenko semalam.
Terdahulu, pihak berkuasa menyatakan, 18 daripada mereka yang cedera adalah kanak-kanak.
“Seluruh ahli beberapa keluarga hilang dalam serangan itu,” kata Klymenko.
Tentera udara Ukraine berkata, Russia menggunakan beratus-ratus dron dan melancarkan berpuluh-puluh peluru berpandu dalam serangan selama semalaman itu.
Tambahnya, bangunan kediaman di Ternopil berkemungkinan besar terkena misil kruz Kh-101 yang direka untuk menembusi sistem pertahanan udara musuh.
Dalam perkembangan sama, Presiden Volodymyr Zelensky berkata, perkhidmatan kecemasan masih beroperasi di bandar itu untuk membantu mangsa dan menyelamatkan seberapa banyak nyawa yang boleh.
Beliau memberi amaran bahawa jumlah kematian dijangka meningkat kerana masih terdapat mangsa yang terperangkap di bawah runtuhan. – AGENSI















