fbpx
15 syarikat vendor UEM Edgenta diraikan pada Majlis Graduasi VDP di Pusat Pembelajaran UEM Edgenta, Petaling Jaya, baru-baru ini.

Program VDP UEM Edgenta lonjak hasil purata vendor bumiputera hingga 30%

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – UEM Edgenta Berhad (UEM Edgenta) terus memperlihatkan komitmen dalam usaha pemerkasaan bumiputera apabila hampir 56 peratus daripada jumlah perbelanjaan perolehan syarikat setakat tahun ini disalurkan kepada vendor bumiputera.

Ia juga merupakan hasil positif daripada pelaksanaan Program Pembangunan Vendor (VDP) yang bertujuan membina keupayaan tempatan dan melahirkan rantaian pembekal berdaya tahan.

Sehingga kini, terdapat 5,623 vendor yang berdaftar dengan UEM Edgenta yang merupakan anak syarikat UEM Group Berhad (UEM Group), dan 50.3 peratus, daripadanya adalah bumiputera.

Menurut Pengarah Urusan UEM Group merangkap Ahli Lembaga Pengarah UEM Edgenta, Datuk Amran Hafiz Affifudin, usaha memperkasa vendor bumiputera bukan sekadar penganugerahan kontrak, sebaliknya menerusi pembangunan daya tahan ekonomi jangka panjang.

AMRAN HAFIZ

“Untuk merealisasikan matlamat membina keupayaan tempatan dan rantaian bekalan yang kukuh, semua anak syarikat UEM Group, termasuk UEM Edgenta, secara aktif melaksanakan program VDP bagi memperkukuh kapasiti vendor serta menyokong pertumbuhan mampan,” jelasnya

Sejak diperkenalkan pada 2022, program VDP telah memanfaatkan 21 vendor yang membekalkan pelbagai barangan dan perkhidmatan kepada UEM Edgenta.

Ia merangkumi latihan menyeluruh dalam pengurusan projek, pembangunan perniagaan, kewangan dan kepimpinan, selain peni­laian prestasi serta bimbingan yang membantu vendor memperkemas operasi dan strategi pertumbuhan.

Sehingga kini, seramai 15 vendor telah selesai mengikuti program VDP di mana mereka mencapai pertumbuhan purata sebanyak 30 peratus dan memperoleh geran RM1.68 juta bagi tujuan menaik taraf perniagaan serta mendapatkan pensijilan yang berkaitan.

Antara yang menonjol dalam VDP ialah Mubiplas Industries Sdn. Bhd. (MUBI) dan M.B. Hi-Tech Engineering Services Sdn. Bhd. (M. B. Hi-Tech).

Dari lima kini 50 pekerja

M. B. Hi-Tech menjadi saksi kepada perjalanan luar biasa seorang juruteknik yang membina perniagaan dari bawah.

Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Ismail Abu Salib memulakan kerjaya sebagai operator kilang sebelum menimba pengalaman dalam ndustri minyak dan gas.

Dengan kelayakan akademik tertinggi diploma dalam elektrik dan elektronik dari Universiti Teknologi Mara, dia menubuhkan M. B. Hi-Tech bersama rakan yang berkongsi visi sama pada 2006, bermula dengan lima pekerja.

Kini, syarikat berpangkalan di Johor Bahru itu mempunyai lebih 50 pekerja dan menjadi penyedia penyelenggaraan mekanikal serta elektrik kepada UEM Edgenta sejak 2012.

Ismail mengakui bahawa sebelum menyertai VDP pada 2023, syarikatnya beroperasi tanpa sistem data yang tersusun.

“Dahulu kami buat semua berdasarkan pengalaman. Selepas VDP, kami belajar strukturkan data, pengurusan tadbir urus syarikat, serta menghasilkan carta prestasi dan laporan kewangan yang diyakini pelanggan serta pihak bank.

ISMAIL (kanan) dan Samaniah berjaya membuktikan syarikat bumiputra mampu bersaing sehingga ke peringkat antarabangsa.

“Melalui bimbingan VDP, kami mempunyai sistem kerja lebih sistematik, prosedur operasi standard (SOP) yang jelas dan keupayaan untuk menyertai tender lebih besar.

“Malah, kami berjaya memperoleh projek tebatan banjir dari Jabatan Pengairan dan Saliran hasil peningkatan kredibiliti melalui program ini,” katanya kepada pembe­rita selepas Majlis Graduasi VDP di Pusat Pembelajaran UEM Edgenta di sini, baru-baru ini.

Ismail turut melihat program itu sebagai platform untuk membawa syarikat ke pentas global. Beliau menyertai pameran Saudi Build 2025 di Riyadh baru-baru ini, menerusi Misi Perdagangan Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade).

“Sebelum ini kami fikir kami hanya pemain tempatan. Tapi di Riyadh, kami sedar akan keupayaan kami dan yakin mampu bersaing di peringkat antarabangsa,” katanya.

Bagi Pengarah Urusan MUBI, Samaniah Musa, penyertaan dalam VDP bukan sahaja menambah baik kecekapan operasi, malah membantu syarikat mengorak langkah ke arah pematuhan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG).

Selain menekankan soal kesihatan dan keselamatan pekerja, syarikat pengeluar produk pembungkusan plastik seperti sharp container dan beg kuning buangan klinikal yang dibekalkan kepada hospital kerajaan dan swasta di seluruh negara itu telah memulakan usaha hijau dan agenda kelestarian sendiri.

Ini termasuk pemasangan sistem solar berkapasiti 441 kilowatt peak dengan perbelanjaan modal sifar dan pengenalan produk de­ngan pensijilan Eco Label dan MyHijau yang diperakui Sirim, selaras dengan agenda ESG UEM Edgenta.

“Kami juga mula melaksanakan program tanggungjawab sosial korporat (CSR) bersama komuniti termasuk kempen derma darah dan aktiviti pembersihan pantai di Kuala Kemaman.

“VDP bukan sekadar tentang jualan atau kontrak. Kami belajar menetapkan sasaran suku tahunan, memperkukuh keselamatan pekerja, serta memberi fokus kepada tanggungjawab sosial dan kelestarian.

“Meskipun berstatus perusahaan kecil dan sederhana (PKS), kami kini dilihat sebagai rakan strategik yang turut memberi nilai kepada komuniti dan alam sekitar.

“Status sebagai peserta program VDP UEM Edgenta juga ba­nyak menaikkan imej dan reputasi syarikat dalam kalangan pe­langgan korporat serta syarikat berkaitan kerajaan,” jelasnya.

Selari agenda nasional

Program VDP seiring dengan matlamat Rancangan Malaysia Ke-13 dan Dasar Keusahawanan Nasional 2030, yang menekankan pembangunan kapasiti bumiputera serta PKS.

SHAIFUL SUBHAN

Pengarah Urusan/Ketua Pegawai Eksekutif UEM Edgenta, Shaiful Subhan berkata, program itu akan terus diperluas bagi memastikan lebih ramai usahawan tempatan dapat menikmati peluang yang saksama dalam ekosistem ekonomi.

“Kami percaya pemerkasaan usahawan tempatan adalah kunci kepada ekonomi yang saksama dan mampan. Program ini bukan sahaja memperkukuh rantaian bekalan kami, tetapi juga menjadikan vendor Bumiputera sebagai rakan strategik dalam pembangunan ekonomi negara,” jelas beliau.

Tambahnya, syarikat yang menyertai program VDP ini telah menca­tatkan 23 peratus penigkatan dalam perolehan projek baharu yang diraih daripada UEM Edgenta.

“Pencapaian ini menunjukkan keberkesanan VDP dalam melahirkan vendor berdaya saing, berinovasi dan mampu mengekalkan kelestarian perniagaan dalam persekitaran ekonomi yang sentiasa berubah,” katanya.

 

 

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI